KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil inisiatif dengan memperkenalkan nombor pengenalan cukai (TIN) dan e-invois untuk mengatasi ketirisan hasil dan mengurangkan saiz ekonomi bayangan di Malaysia.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata dua kaedah itu diwujudkan bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

"Bagaimana cara kita nak kurangkan ekonomi bayangan dengan kaedah tanpa GST? Caranya adalah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 iaitu pelaksanaan e-invois.

"Kita tahu pelaksanaan GST boleh menurunkan 10 peratus daripada ekonomi bayangan tetapi kita tak rasa ada GST tahun ini atau tahun depan. Tiada pengumuman lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perkhidmatan Pertukaran Syiling Kocek (Kocek).

Beliau berkata pelaksanaan e-invois adalah satu mekanisme baharu untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai negara dan seterusnya pematuhan cukai.

Ahmad berkata bagi tempoh 2000 hingga 2009, anggaran saiz ekonomi bayangan adalah 30.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagaimanapun, angka itu telah dikurangkan dalam tempoh 2010 hingga 2019, apabila saiz ekonomi bayangan turun kepada 21.2 peratus kerana Malaysia melaksanakan GST dari 2015 hingga 2018, katanya.

Mengenai Kocek, beliau berkata perkhidmatan itu adalah langkah yang amat inovatif.

"Usaha mewujudkan Kocek adalah suatu yang cukup inovatif dan saya harap usaha untuk penukaran duit syiling Kocek ini akan diteruskan dan jadi wang digital," katanya.

Beliau menjelaskan pengeluaran duit syiling tahunan oleh Bank Negara Malaysia bagi tempoh 2019 hingga 2022 adalah sebanyak 800 juta keping dengan anggaran kos RM64 juta setiap tahun.

Daripada jumlah tersebut, hampir 30 peratus atau 240 juta keping duit syiling daripada pengeluaran tahunan tidak kembali kepada kitaran mata wang, dengan anggaran kos pengeluaran RM20 juta setahun telah dibazirkan, katanya.

Pertama Digital Bhd memperluas perkhidmatan Kocek melalui kerjasama Pos Malaysia Bhd, dengan Kocek ditawarkan di cawangan Pos Malaysia.

Perkhidmatan inovatif Kocek dimulakan oleh Pertama Digital untuk merangsang kembali pengedaran semula syiling yang tidak digunakan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kocek kini boleh didapati di empat lokasi di Lembah Klang dan dijangka berkembang ke kira-kira 30 cawangan menjelang akhir 2023, sebelum berkembang ke negeri lain secara berperingkat pada 2024.

-- BERNAMA