[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
BISNES

Econpile jelaskan tidak terlibat dalam kes pengubahan wang haram berkaitan Maju Holdings

Bernama 09/09/2025 | 07:30 MYT
Econpile menegaskan bahawa operasi perniagaannya kekal tidak terjejas berikutan dengan siasatan yang sewajarnya bersama lembaga pengarah dan pengurusan kanan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Econpile Holdings Bhd hari ini menjelaskan bahawa tiada satu pun daripada syarikat itu atau anak syarikat milik penuhnya, Econpile (M) Sdn Bhd (EMSB), telah didakwa berkaitan kes pengubahan wang haram yang melibatkan Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu mengeluarkan penjelasan berikutan laporan media pada 8 September yang menyatakan bahawa Abu Sahid didakwa atas 13 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM139.2 juta -- termasuk pemindahan sebanyak RM42.89 juta pada 2017 dan RM34.68 juta pada 2018 kepada EMSB.

"Lembaga Pengarah Econpile Holdings ingin menjelaskan bahawa sejak 2019, EMSB telah memulakan pelbagai tindakan undang-undang terhadap ASM Development (KL) Sdn Bhd, sebuah syarikat yang berkaitan dengan Abu Sahid untuk menuntut bayaran bagi kerja-kerja yang dilaksanakan bagi projek Maju Kuala Lumpur, yang telah diumumkan dan dikemas kini secara berkala kepada para pemegang saham.

"Bayaran yang diterima oleh EMSB sebelum tindakan undang-undang diambil adalah untuk kerja-kerja yang dilaksanakan dalam projek ini," katanya.

Syarikat itu juga menegaskan bahawa operasi perniagaannya kekal tidak terjejas berikutan dengan siasatan yang sewajarnya bersama lembaga pengarah dan pengurusan kanan.

Pada Isnin, Abu Sahid selaku pemilik Maju Expressway didakwa dengan sejumlah 17 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan projek Lebuh Raya MEX II.

-- BERNAMA



#Maju Holdings #Econpile Holdings Bhd #SPRM #pengubahan wang haram