Ekonomi Asia-Pasifik berkembang 3.8 peratus tahun ini - Moody's Analytics

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Asia Pasifik (APAC) dijangka berkembang 3.8 peratus pada tahun ini tetapi akan perlahan pada 3.3 peratus menjelang 2026 dan 3.5 peratus pada 2027, menurut Moody's Analytics Inc. - Gambar fail/ETA
KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Asia Pasifik (APAC) dijangka berkembang 3.8 peratus pada tahun ini tetapi akan perlahan pada 3.3 peratus menjelang 2026 dan 3.5 peratus pada 2027, menurut Moody's Analytics Inc.
Firma penyelidikan serta analisis kewangan itu melalui satu kenyataan hari ini berkata angka tersebut jauh di bawah unjurannya semasa penghujung 2024 iaitu sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menguasai semula White House dan menggubah prospek perdagangan global.
"Angka itu mencerminkan penurunan ketara daripada pengembangan 4.0 rantau ini pada 2024," katanya.
"Ia mengemukakan pertumbuhan yang lebih baik berbanding jangkaan pada separuh pertama 2025, menyaksikan pengeksport sibuk memenuhi pesanan sebelum terjejas oleh tarif AS."Bagaimanapun dengan tarif tinggi mula memberi kesan sekarang ini, pertumbuhan separuh kedua 2025 akan lebih perlahan. Ini akan berterusan sehingga 2026 dan seterusnya," kata Moody's Analytics.
Eksport telah menjana daya saing rantau ini pada awal 2025 memandangkan pengeluar bertungkus lumus menghantar barangan ke AS sebelum tarif baharu berkuatkuasa menyebabkan angka pengeluaran eksport dan perindustrian melonjak melangkaui trend 2023-2024 mereka.
"Daripada segi dolar, China berada di tempat teratas dengan penghantaran meningkat ketara sebelum menyusut pada Jun serta Julai apabila Washington mengenakan hampir 40 peratus tarif ke atas barangan China," katanya.
Aktiviti eksport yang lebih awal turut melonjak merentasi Indonesia, Thailand, Malaysia, Filipina, Singapura, Vietnam dan Taiwan, sebelum menurun sepenuhnya.
Secara keseluruhan, Moody's Analytics berkata prospek rantau ini amat bergantung pada persekitaran luaran terutamanya hala tuju dasar perdagangan AS.
"Kami berpendapat tarif import AS akan kekal pada paras tinggi semasa menjelang 2028, dengan purata kadar efektif bagi kebanyakan ekonomi APAC dari 5.0 peratus hingga 20 peratus.
"Kecuali China pada sekitar 40 peratus dan India selepas ia dikenakan penalti akibat membeli minyak Rusia, yang akan mencapai kadar yang sama pada akhir 2025 sebelum ditetapkan di bawah 30 peratus," katanya lagi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami