KUALA LUMPUR : Malaysia dijangka mencapai peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi antara tahun 2024 dan 2028.

Pengarah Pembangunan Ekonomi Kumpulan Bank Dunia, Norman Loayza berkata Malaysia telah merekod pertumbuhan ekonomi yang kukuh sejak beberapa dekad yang lalu, kecuali ketika berdepan krisis.

Ini secara langsung memperlihatkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita meningkat dua kali ganda sepanjang 15 tahun sebelum ini.

"Pendapatan negara per kapita meningkat secara substantial sejak 1970. Jika kita banding dengan 15 tahun lalu, ia telah meningkat dua kali ganda.

"Dengan kadar pertumbuhan tinggi pendapatan negara kasar (GNI) per kapita, Malaysia dijangka dapat melepasi ambang ekonomi berpendapatan tinggi antara 2024 dan 2028," katanya. 

Beliau berkata demikian pada sesi webinar bertajuk "Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia's Development" anjuran Kumpulan Bank Dunia secara dalam talian pada Rabu.

Jelas Norman, sumbangan terbesar kepada KDNK pada 2020 direkodkan daripada pelaburan swasta iaitu sebanyak dua mata peratusan.

Manakala sumbangan kedua terbesar ialah faktor pertumbuhan produktiviti (0.9 mata peratusan), diikuti pelaburan awam dan pertumbuhan populasi, masing-masing sebanyak 0.65 mata peratusan.

Bagaimanapun, pemacu pertumbuhan ini semakin merosot atau ketinggalan berbanding rakan serantau dan negara berpendapatan tinggi yang lain.

"Jika kita lihat kepada jumlah pelaburan, didapati bahawa ketika krisis kewangan melanda, kadar pelaburan meningkat dengan substantial mencapai tahap menjangkaui 40 peratus.

"(Sementara itu) selepas krisis kewangan Asia, jumlah pelaburan menurun hampir separuh dan kekal stabil pada 24 peratus daripada KDNK dalam tempoh 20 tahun lalu," katanya.