BUSINESS
Ekonomi Indonesia berkembang 4.87 peratus pada suku pertama
Sekalipun mencatat pertumbuhan tahunan, ekonomi Indonesia menguncup 0.98 peratus secara suku tahunan. - Gambar hiasan/REUTERS
JAKARTA: Indonesia mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.87 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2025, menurut data yang dikeluarkan oleh Badan Pusat Statistik (BPS) pada Isnin, lapor Xinhua.
Dalam sidang media di Jakarta, Ketua BPS Amalia Adininggar Widyasanti berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu mencecah 5,665.9 trilion rupiah (US$340 bilion) pada harga semasa dan 3,264.5 trilion rupiah (US$200 bilion) pada harga tetap 2010 dalam tempoh itu.
Dari segi pengeluaran, sektor pembuatan pemprosesan muncul sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK, berkembang sebanyak 4.55 peratus dan menyumbang 19.25 peratus kepada ekonomi nasional.
Beliau menjelaskan prestasi sektor itu banyak disokong oleh industri makanan dan minuman yang berkembang 6.04 peratus, sejajar dengan peningkatan permintaan bermusim semasa Ramadan dan Aidilfitri, serta peningkatan aktiviti dalam industri pengilangan dan penggilapan beras.
Sementara itu, industri pembuatan logam asas mencatat pertumbuhan ketara sebanyak 14.47 peratus, selaras dengan peningkatan permintaan luar negara.
"Industri barangan kulit dan kasut pula berkembang 6.95 peratus, disokong oleh peningkatan permintaan domestik semasa Ramadan dan Aidilfitri serta prestasi eksport yang lebih baik," katanya.
Sekalipun mencatat pertumbuhan tahunan, ekonomi Indonesia menguncup 0.98 peratus secara suku tahunan.
Pulau Jawa terus mendominasi struktur ekonomi Indonesia, menyumbang 57.43 peratus kepada KDNK nasional dan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 4.99 peratus pada suku pertama.
--BERNAMA-XINHUA