BISNES

Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan pada 2025 dalam cabaran tarif, geopolitik - Amir Hamzah

Bernama 26/12/2025 | 03:30 MYT
Amir Hamzah berkata, kadar pengangguran pula kekal pada paras terendah dalam tempoh sedekad iaitu tiga peratus. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya mengekalkan daya tahan ekonominya pada 2025, disokong oleh dasar perdagangan yang terbuka dan berkecuali walaupun dalam realiti perang tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump serta ketidaktentuan geopolitik.

Ketika berkongsi perkara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini turut didorong oleh kemampuan negara mewujudkan asas-asas kukuh bagi pertumbuhan masa depan.

Namun pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa usaha mengekalkan daya saing itu memerlukan pembaharuan secara berterusan berbanding sikap berasa terlalu selesa.

"Sewaktu saya menggalas tanggungjawab ini pada Disember 2023, defisit fiskal Malaysia adalah 5.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Hari ini, ia dijangka turun kepada 3.8 peratus bagi 2025 yang selari dengan sasaran 3.5 peratus pada 2026, malah ringgit telah muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia," katanya dalam catatan di laman LinkedIn, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Amir Hamzah berkata, kadar pengangguran pula kekal pada paras terendah dalam tempoh sedekad iaitu tiga peratus.

"Kita turut mencapai angka rekod bagi pelaburan langsung asing (FDI) yang memaparkan keyakinan terhadap trajektori Malaysia. Kesemua pencapaian ini adalah hasil daripada pelaksanaan kukuh dalam tiga teras Ekonomi MADANI," katanya.

Bagi 2026, Amir Hamzah berkata, kerajaan kekal komited terhadap usaha meningkatkan daya tahan ekonomi dan menumpukan aspek pelaksanaan yang lebih mendalam.

"Kita juga telah membuktikan bahawa Kerangka Ekonomi MADANI itu sememangnya berkesan. Apa yang penting pada masa ini adalah mengekalkan momentum itu sambil mengemudi kejutan-kejutan luaran.

"Jelaslah, Malaysia dapat mencapai titik perubahan dalam pemulihan pasca-COVID 19 dan sedang berusaha meraih semula kedudukan sebagai Harimau Asia.

"Banyak lagi yang perlu dibuat dan kita perlu terus tekad untuk bergerak maju dan berpandukan perancangan (yang telah ditetapkan)," katanya.

-- BERNAMA


#ekonomi malaysia #cabaran tarif #cabaran geopolitik #Amir Hamzah Azizan