Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
BISNES

Ekonomi Malaysia kekal kukuh: KDNK suku kedua 2025 catat pertumbuhan 4.4%

Nabilah Khaleeda 15/08/2025 | 04:05 MYT
BNM turut melaporkan bahawa inflasi keseluruhan menurun kepada 1.3 peratus, manakala inflasi teras kekal stabil pada 1.8 peratus. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2025, mengekalkan momentum yang sama seperti suku pertama, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM419.3 bilion, dipacu oleh sektor Perkhidmatan, Pembinaan dan penggunaan domestik yang kukuh.


Permintaan Dalam Negeri Jadi Pemacu Utama


Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, menyatakan bahawa pertumbuhan ini disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, termasuk perbelanjaan isi rumah yang mampan hasil daripada pasaran buruh yang positif serta pelaksanaan dasar berkaitan pendapatan seperti kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam.

“Malaysia menghadapi cabaran global dari kedudukan yang kukuh.

"Ekonomi negara kekal berada pada landasan yang utuh, disokong oleh permintaan domestik, permintaan berterusan untuk barangan E&E dan struktur eksport yang pelbagai,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.


Prestasi Sektor Utama


Perbelanjaan dan Pelaburan Kukuh

Penggunaan akhir swasta meningkat 5.3 peratus, disokong oleh aktiviti pelancongan serta perbelanjaan dalam restoran, hotel dan pengangkutan.

Pelaburan modal tetap kasar melonjak 12.1 peratus manakala eksport bersih merosot 72.6 peratus berikutan penurunan eksport komoditi.


Inflasi Terkawal, Ringgit Mengukuh

BNM turut melaporkan bahawa inflasi keseluruhan menurun kepada 1.3 peratus, manakala inflasi teras kekal stabil pada 1.8 peratus.

Ringgit pula mencatatkan pengukuhan sebanyak 5.1 peratus berbanding dolar AS, didorong oleh kelemahan dolar dan usaha terselaras kerajaan serta BNM dalam pasaran pertukaran asing.


Prospek Positif untuk Baki Tahun

Abdul Rasheed menjangkakan prospek ekonomi Malaysia kekal positif untuk baki tahun ini, disokong oleh pelaburan infrastruktur, pelan induk nasional dan aktiviti pelancongan yang giat.

“Kami menjangkakan inflasi keseluruhan akan kekal sederhana antara 1.5 hingga 2.3 peratus sepanjang tahun 2025,” tambahnya.





#pertumbuhan ekonomi #KDNK #DoSM #Abdul Rasheed Ghaffour