Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
BISNES

Ekonomi Malaysia kekal stabil, berdaya tahan - Gabenor BNM

Bernama 15/11/2025 | 11:00 MYT
Abdul Rasheed Ghaffour (kanan) hadir pada pelancaran Karnival Celik Kewangan Pulau Pinang di pusat membeli-belah Queensbay, Bayan Lepas hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Ekonomi Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran global, menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.


Ringkasan AI
  • Gabenor BNM menyatakan ekonomi Malaysia stabil walaupun menghadapi cabaran global seperti kos sara hidup yang tinggi dan perubahan dalam dunia pekerjaan serta teknologi yang cepat berubah.
  • Literasi kewangan penting bagi rakyat membuat keputusan kewangan bijak, mengelak hutang berlebihan, dan meningkatkan daya tahan isi rumah.
  • BNM dan agensi berkongsi langkah keselamatan siber untuk tangani penipuan dalam perkhidmatan kewangan digital, serta pelaksanaan program pendidikan kewangan untuk menggalakkan pengurusan dana yang bijak di kalangan pengguna.


Beliau berkata Malaysia juga berdepan dengan cabaran kos sara hidup, dunia pekerjaan yang berubah dan teknologi yang bergerak pantas daripada kemampuan untuk menyesuaikan diri seperti negara-negara lain di dunia.

Justeru, beliau menegaskan literasi kewangan menjadi kemahiran asas yang membantu rakyat untuk berfikir lebih panjang sebelum berbelanja, membuat keputusan kewangan yang bijak dan membina daya tahan isi rumah.

"Ilmu kewangan membantu kita menilai keperluan sebenar, mengelak hutang berlebihan dan sentiasa bersedia sekiranya menghadapi kecemasan.

"Oleh itu, Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) memperbaharui Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026-2030 dengan matlamat bukan sekadar mahu rakyat tahu mengira duit, tetapi tahu menggunakan duit dan menguruskan kewangan untuk meningkatkan taraf hidup," katanya ketika berucap pada Karnival Celik Kewangan (KCK) Pulau Pinang di Bayan Lepas, dekat sini hari ini yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Mengenai perkembangan digital, Abdul Rasheed berkata sembilan daripada 10 rakyat Malaysia kini menggunakan perkhidmatan kewangan digital daripada membayar bil hingga membeli perlindungan insurans, namun ancaman penipuan juga meningkat termasuk penyamaran menggunakan suara dan wajah melalui teknologi kecerdasan buatan (AI).

Sehubungan itu, beliau berkata BNM bersama industri kewangan dan agensi penguat kuasa akan terus memperkukuh langkah keselamatan siber, bagaimanapun menekankan kepentingan kesedaran dan kewaspadaan setiap pengguna.

Beliau turut memaklumkan bahawa kajian mendapati 31 peratus pengguna berbelanja secara impulsif ketika membeli dalam talian yang boleh menjejaskan simpanan dan menyebabkan tekanan kewangan.

"Sebagai langkah awal, BNM bersama Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank akan melaksanakan Program Pendidikan Kewangan Tepat Pada Masanya (Just-In-Time Financial Education (JITFE)) khas untuk pemohon pembiayaan peribadi, supaya pinjaman dapat dimanfaatkan secara bijak," katanya.

Sementara itu, Abdul Rasheed berkata FEN kini menyediakan Panduan Insurans Dan Takaful Kesihatan di laman sesawangnya bagi membantu rakyat memilih perlindungan yang sesuai kerana yakin langkah kecil tersebut mampu menjadi penyelamat dalam waktu susah.

"Seiring dengan usaha ini, BNM bersama rakan strategik sedang melaksanakan pembaharuan penting melalui program RESET untuk menangani kenaikan kos rawatan perubatan dan memastikan sistem penjagaan kesihatan di Malaysia lebih mampan," katanya.

Menyentuh mengenai Karnival Celik Kewangan Pulau Pinang, Abdul Rasheed berkata sepanjang bulan ini, Skuad Celik Kewangan yang terdiri daripada ahli-ahli dan rakan usaha sama FEN, telah menjelajah ke lebih 100 lokasi di seluruh negara untuk bertemu pelajar, peniaga kecil, suri rumah, dan warga emas dengan membawa mesej bahawa mengurus wang dengan bijak merupakan asas kesejahteraan hidup.

Dalam pada itu, karnival yang berlangsung sejak semalam hingga 16 Nov, 2025 itu membawa pendidikan kewangan terus kepada komuniti melalui pameran interaktif, kaunter perkhidmatan, bicara pendidikan, bengkel dan aktiviti mesra keluarga dengan 20,000 pengunjung dijangka hadir sepanjang acara yang berlangsung selama tiga hari.

KCK Pulau Pinang menandakan kemuncak Bulan Literasi Kewangan 2025 (FLM2025) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lepas.

-- BERNAMA








#ekonomi malaysia #Gabenor Bank Negara #Abdul Rasheed Ghaffour #cabaran global