Ekonomi Malaysia boleh berkembang lebih empat peratus pada 2017 disebabkan sokongan kukuh perbelanjaan domestik, walaupun ekonomi global merosot.

Naib Presiden Pembangunan Korporat dan Penyelidikan Pasaran ForexTime, Jameel Ahmad berkata, ekonomi Malaysia masih mantap dan berdaya tahan walaupun menghadapi pelbagai cabaran seperti turun naik pasaran mata wang serta persekitaran ekonomi global yang lembap.

Beliau juga mengaitkannya kepada norma pertumbuhan rendah semasa di kalangan semua pasaran sedang muncul, pengukuhan dolar US berbanding mata wang utama serta ketidaktentuan selepas kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden AS.

Kadar pertumbuhan di Malaysia masih dilihat lebih kukuh daripada negara maju, katanya pada majlis taklimat mengenai 'Ekonomi Malaysia dan Ringgit' di sini, pada Selasa.

"Dengan begitu banyak mata wang terjejas oleh dolar US, Malaysia tidak akan bersendirian dalam menghadapi risiko inflasi," katanya.

Jameel berkata, langkah Bank Negara mengurangkan kadar faedah utama sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus pada Julai, juga membantu menyokong permintaan domestik dan merangsang ekonomi walaupun persekitaran ekonomi global lemah.

Mengenai kesan kelemahan mata wang ke atas ekonomi, katanya, Malaysia tidak bersendirian kerana semua mata wang utama lain juga menerima tekanan daripada kenaikan dolar US.

"Bank Negara perlu bertenang. Sebarang reaksi spontan daripada mana-mana bank pusat berikutan peningkatan dolar US, akan memberi petanda kepada pelabur yang bank pusat itu panik," jelasnya.

Jika pelabur panik, katanya, pasaran tempatan akan menghadapi pergolakan dan ini akan meningkatkan potensi risiko kepada ekonomi.

"Dalam tempoh ketidaktentuan, kestabilan boleh meyakinkan pelabur," katanya dengan menambah, bank pusat itu mempunyai rizab pertukaran asing mencukupi bagi melindungi ringgit.

Jameel bersetuju yang sedikit campur tangan dalam pasaran adalah baik.

"Bagaimanapun ia boleh mencetuskan kebimbangan kepada pelabur, jika ia kerap berlaku," katanya.

Menurutnya, penambatan ringgit bukan pendekatan untuk diambil kerana ia menunjukkan Bank Negara menjangka kelemahan mata wang itu akan berlaku untuk jangka masa yang lebih panjang.

"Sama seperti bank pusat lain, tidak ada apa yang boleh Bank Negara lakukan bagi mencegah pengukuhan dolar. Ia adalah trend pelaburan semasa di mana pasaran membeli dolar," katanya.

Berikutan Donald Trump memulakan tugas pada Januari dan ketidaktentuan mengenai dasar perdagangan beliau dan kesannya ke atas dolar dijangka memberi tekanan ke atas ringgit untuk melepasi paras 4.50 hingga 4.60 bagi setiap dolar.

Menurutnya, berikutan itu Malaysia boleh mencari peluang dengan rakan kongsi perdagangan lain seperti United Kingdom, sebaik ia memulakan proses untuk keluar daripada Kesatuan Eropah.

Malaysia boleh mendapat manfaat daripada hubungan lebih kukuh dengan United Kingdom, tambah Jameel. -- Bernama