Skip to main content

Bisnes

Ekonomi Malaysia pelbagai, pemampan fiskal mampu kurangkan kejutan luaran - Amir Hamzah

Amir Hamzah berkata, perubahan dalam jajaran geopolitik serta fragmentasi globalisasi menjadikan kebolehpercayaan rantaian bekalan semakin penting. - Gambar fail
Amir Hamzah berkata, perubahan dalam jajaran geopolitik serta fragmentasi globalisasi menjadikan kebolehpercayaan rantaian bekalan semakin penting. - Gambar fail

Advertisement

BANGKOK: Ekonomi Malaysia yang pelbagai, pasaran eksport yang berdaya tahan, serta penampan fiskal yang lebih kukuh akan membantu mengurangkan kesan kejutan luaran dan menyokong prospek pertumbuhan negara bagi tahun 2027, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Amir Hamzah berkata ketegangan geopolitik, perubahan corak perdagangan global, dan ketidaktentuan ekonomi akan kekal sebagai risiko utama, bagaimanapun Malaysia berada dalam kedudukan lebih baik untuk menghadapi gangguan memandangkan negara telah berjaya menyesuaikan diri dengan krisis-krisis terdahulu, termasuk peperangan antara Rusia dan Ukraine dan ketegangan perdagangan yang masih berterusan.

“Jumlah perdagangan Malaysia bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini meningkat sebanyak 27 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, yang mencerminkan daya tahan sektor perdagangan kita,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.

Amir Hamzah berkata asas ekonomi Malaysia telah berkembang melangkaui komoditi serta minyak dan gas, merangkumi sektor elektrik dan elektronik, semikonduktor, pusat data, dan pembuatan termaju, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana sektor tunggal.

“Pasaran eksport kita (Malaysia) juga pelbagai, tiada satu pasaran pun yang menyumbang lebih daripada 17 peratus jumlah eksport. Ini membolehkan perniagaan mengalihkan perdagangan ke pasaran yang menunjukkan prestasi lebih baik. Malaysia telah membuktikan bahawa ia sangat mudah menyesuaikan diri,” katanya.

Amir Hamzah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tahunan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia yang berlangsung di Queen Sirikit National Convention Centre di Bangkok.

Beliau berkata perubahan dalam jajaran geopolitik serta fragmentasi globalisasi menjadikan kebolehpercayaan rantaian bekalan semakin penting, situasi itu membuka peluang kepada Malaysia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pembuatan dan perdagangan yang dipercayai.

"Kerajaan sedang memperkukuh ekosistem perindustrian domestik bagi membolehkan pengilang mendapatkan lebih banyak komponen secara tempatan, sekali gus mengurangkan pendedahan mereka terhadap gangguan dalam rantaian bekalan antarabangsa.

“Malaysia mengekalkan hubungan perdagangan dengan negara-negara utama dan mematuhi undang-undang antarabangsa dan memastikan pelaburan asing menjana nilai sebenar bagi ekonomi domestik,” katanya.

Mengenai kesiapsiagaan fiskal, Amir Hamzah berkata pembaharuan untuk mengukuhkan kewangan awam telah memberikan kerajaan keupayaan yang lebih besar untuk bertindak balas terhadap kejutan luaran.

Beliau menekankan bahawa tindakan kerajaan terhadap ketegangan yang berlaku baru-baru ini di Asia Barat mengutamakan keselamatan bekalan dan menyediakan bantuan bersasar kepada kumpulan yang terjejas termasuk melalui sokongan pembiayaan yang diperluas dan bukan sekadar bergantung kepada subsidi semata-mata.

"Kerajaan juga menggembleng modal swasta bersama-sama dana awam untuk menyokong pertumbuhan ekonomi; antaranya dengan menggalakkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) melabur dalam industri domestik strategik, tanpa menjejaskan pulangan komersial," katanya.

Menurut Amir Hamzah, jumlah pelaburan diluluskan di Malaysia mencecah RM431.8 bilion pada tahun lepas, dengan pelaburan langsung asing dan domestik masing-masing menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah tersebut, mencerminkan keyakinan dalam kalangan pelabur antarabangsa mahupun tempatan.

Beliau berkata pelaburan domestik lebih kukuh, disokong oleh industri dan pasaran eksport yang pelbagai akan terus memperkuat daya tahan ekonomi Malaysia serta membantu mengekalkan pertumbuhan dalam persekitaran prospek global yang tidak menentu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement