Beliau memberitahu industri seperti perabot, yang tidak disenaraikan dalam pengecualian tarif, mungkin perlu disusun semula dan dipelbagaikan sebagai tindak balas kepada langkah-langkah perdagangan baharu.
"Mujurlah, semikonduktor (kategori eksport terbesar Malaysia ke AS) menjadi salah satu industri yang dikecualikan dari tarif dan ini telah mengurangkan kesan," katanya.
"Jadi, saya fikir dari segi jangka panjang, kami masih positif mengenai prospek jangka panjang Malaysia dalam memperbaharui industri dan bergerak ke atas rantaian nilai di bahagian semikonduktor," katanya pada sidang akhbar yang diadakan bersempena dengan pelancaran laporan Unjuran Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO) 2025 hari ini.
AMRO meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan berada pada 4.7 peratus tahun ini dan 4.5 peratus menjelang 2026.
Sementara itu, Ketua Kumpulan AMRO untuk pengawasan serantau, Allen Ng berkata kebanyakan ekonomi ASEAN+3 mengekalkan ruang dasar yang mencukupi untuk bertindak balas terhadap cabaran ekonomi.
"Majoriti ekonomi anggota kami mempunyai fleksibiliti fiskal serta kewangan yang sederhana, ini membolehkan mereka menyokong pertumbuhan di tengah-tengah gangguan perdagangan jika perlu," katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan daya tahan rantau ini akan bergantung kepada peralihan jangka panjang termasuk kepelbagaian eksport dan integrasi intra-wilayah yang lebih mendalam.
Sementara itu, AMRO melalui satu kenyataan akhbar berkata ekonomi ASEAN+3 kini berada dalam kedudukan terbaik bagi menangani sebarang impak daripada langkah-langkah tarif AS terkini.
Walaupun tarif baharu serta ketidakpastian dasar yang berterusan dijangka melemahkan momentum perdagangan, mengganggu rantaian bekalan dan meningkatkan ketidaktentuan pasaran kewangan, prospek rantau ini tetap disokong oleh asas-asas ekonomi yang mantap.
Mujur, ekonomi-ekonomi ASEAN+3 hari ini adalah lebih berdaya tahan dan bervariasi berbanding semasa kejutan global sebelum ini, ia berada dalam kedudukan yang lebih baik bagi menavigasi kejutan tarif yang berlaku," kata Khor dalam kenyataan itu.
AMRO menjelaskan bahawa ekonomi serantau mempunyai ruang dasar yang mencukupi untuk mengatasi kejutan jangka pendek, dengan banyak kerajaan memiliki keupayaan fiskal untuk memberikan sokongan yang disasarkan kepada sektor yang terdedah selain mengekalkan permintaan dalam negeri.
Selama bertahun-tahun, ekonomi serantau juga telah menjadi lebih seimbang, dengan permintaan domestik dan perdagangan intra-serantau muncul sebagai pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh pasaran eksport yang lebih pelbagai.
AMRO menekankan bahawa bahagian eksport di rantau ini ke AS telah menurun ketara, kini hanya menyumbang 15 peratus daripada eksport kasar berbanding kira-kira 24 peratus pada 2000.
Perdagangan intra-wilayah kini mewakili 45 peratus daripada jumlah eksport, dengan China menjadi pasaran permintaan akhir yang terbesar di rantau ini
Sebelum pengumuman tarif "Hari Pembebasan", AMRO telah meramalkan pertumbuhan serantau untuk kekal melebihi 4.0 peratus pada 2025 dan 2026. Namun, di bawah senario awal Hari Pembebasan, pertumbuhan boleh menurun di bawah 4.0 peratus pada 2025 dan terus lemah lebih jauh kepada 3.4 peratus menjelang 2026.
Di bawah senario "Jeda" - yang diumumkan oleh Amerika Syarikat pada 9 April lepas bagi menangguhkan tarif selama 90 hari untuk kebanyakan negara tetapi dengan tarif AS-China melangkaui 100 peratus, pertumbuhan serantau boleh berkurangan lebih jauh kepada 3.3 peratus pada 2025 dan 2.4 peratus pada 2026, kata AMRO dalam satu catatan di blog.
"Unjuran awal ini tertakluk kepada ketidakpastian yang signifikan memandangkan pentadbiran AS terus menyesuaikan langkah-langkah tarifnya sebagai respons terhadap tindak balas pasaran dan langkah-langkah balasan oleh rakan kongsi perdagangannya," kata AMRO.
Katanya. kemajuan yang berterusan dalam integrasi serantau serta kepelbagaian perdagangan akan memperkuatkan keupayaan rantau ini untuk menghadapi pergolakan global.
-- BERNAMA
