[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
BISNES

Eksport halal Malaysia cecah AS$7 bilion pada separuh pertama 2025

Bernama 18/09/2025 | 12:15 MYT
Eksport halal Malaysia mencecah AS$7 bilion pada separuh pertama 2025, iaitu 16.1 peratus daripada eksport negara. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Eksport halal Malaysia mencecah AS$7 bilion (AS$1=RM4.19) pada separuh pertama 2025, iaitu 16.1 peratus daripada eksport negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Ringkasan AI
  • Eksport halal Malaysia capai AS\$7 bilion pada separuh pertama 2025, dengan produk utama makanan, minuman dan derivatif sawit.
  • Lebih 10,000 syarikat bersijil halal menyumbang kepada jejak global, diperkukuh melalui HIMP 2030 dan digitalisasi.
  • Malaysia tekad kekal sebagai hab halal global dengan memacu inovasi, kemampanan dan keterangkuman.


Beliau berkata produk utama ialah makanan dan minuman, bahan halal dan derivatif minyak sawit, dihantar ke pelbagai pasaran seperti China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun dan Indonesia.

"Pencapaian ini bukan kerja kerajaan semata-mata. Ia adalah hasil daripada usaha kolaboratif, pengawal selia menyediakan tadbir urus, syarikat melabur dalam skala, perusahaan kecil dan sederhana berinovasi dengan tangkas dan cendekiawan mengekalkan penjajaran dengan nilai dan standard," katanya pada Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) 2025 hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata lebih 10,000 syarikat yang memperoleh pensijilan halal kini menyumbang kepada jejak halal global Malaysia.

"Melangkah ke depan, Malaysia memperkukuh lagi ekosistem ini melalui pendigitalan, pelancongan, taman halal, integrasi logistik dan kebolehkesanan secara keseluruhan untuk memastikan sistem halal adalah cekap, berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan.

"Menerusi Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030 sebagai hala tuju, kami berazam untuk mengekalkan pertumbuhan, mengeratkan hubungan antarabangsa dan kekal berdaya saing di peringkat global," katanya.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan bahawa konsep halal sejagat bukan sekadar impian untuk hari esok tetapi realiti yang telah dibina oleh Malaysia selama beberapa dekad.

"Apa yang bermula sebagai proses pengesahan yang mudah telah berkembang menjadi salah satu sektor ekonomi global paling dinamik.

"Industri Halal hari ini tidak lagi terhad kepada dapur atau restoran. Ia membentuk ubat yang kita makan, fesyen kita pakai, logistik menggerakkan barangan kita, kewangan menyokong perniagaan kita dan teknologi yang akan menentukan masa depan kita," katanya.

WHBC 2025 adalah platform global terulung untuk kepimpinan pemikiran halal, menghimpunkan penggubal dasar, peneraju industri dan pakar untuk membentuk masa depan ekonomi halal, seiring dengan HIMP 2030 Malaysia.

Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan peranannya sebagai hab halal global dengan memacu inovasi, kemampanan, keterangkuman dan integrasi yang lebih mendalam merentas ekosistem halal.

Persidangan tahun ini menghimpunkan kerajaan, pemimpin perdagangan dan cendekiawan untuk meneroka peluang dalam dunia tanpa sempadan dan membuka kunci pertumbuhan baharu untuk industri halal global.

-- BERNAMA


#eksport halal Malaysia #Ahmad Zahid Hamidi #eksport negara #WHBC 2025