Eksport, import Malaysia pada Januari 2021 terus catat pertumbuhan positif

Kenyataan Media
Februari 26, 2021 04:00 MYT
MOHD UZIR: Eksport Malaysia pada Januari 2021 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih tinggi berbanding dengan import, mencatat pertumbuhan 6.6 peratus daripada RM84.1 bilion kepada RM89.6 bilion. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Berikut kenyataan media bagi perangkaan perdagangan luar negeri bagi Januari 2021 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 25 Februari 2021.

JUMLAH eksport Malaysia meneruskan momentum positif selama lima bulan berturut-turut, berkembang 6.6 peratus daripada RM84.1 bilion pada Januari 2020 kepada RM89.6 bilion.
Import terus bertahan mencatat kenaikan 1.3 peratus kepada RM73.0 bilion sebagai mana dilaporkan dalam laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Januari 2021 hari ini.
Laporan ini turut memaparkan prestasi import dan eksport mengikut produk dan rakan dagangan.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata "Eksport Malaysia pada Januari 2021 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih tinggi berbanding dengan import, mencatat pertumbuhan 6.6 peratus daripada RM84.1 bilion kepada RM89.6 bilion.
"Ini adalah nilai eksport tertinggi yang pernah dicatatkan untuk bulan Januari.
"Pertumbuhan itu didorong oleh eksport domestik dan eksport semula.
"Eksport domestik berjumlah RM72.1 bilion yang menyumbang 80.5 peratus kepada jumlah eksport, meningkat 6.3 peratus.
"Di samping itu, eksport semula bernilai RM17.5 bilion meningkat 7.5 peratus tahun ke tahun.
"Import pada Januari 2021 meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun kepada RM73.0 bilion.
"Lebihan dagangan meningkat 38.0 peratus kepada RM16.6 bilion berbanding Januari 2020.
"Jumlah perdagangan yang bernilai RM162.6 bilion meningkat 4.1 peratus tahun ke tahun.”
Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa peningkatan dalam eksport didorong oleh eksport yang lebih tinggi ke China (+RM2.7 bilion), Amerika Syarikat (+RM1.6 bilion), Vietnam (+RM1.2 bilion), Kesatuan Eropah (+RM821.3 juta) dan Singapura (+RM621.0 juta).
Sementara itu, kenaikan import terutamanya dari Taiwan (+RM1.0 bilion), China (+RM793.9 juta), Hong Kong (+RM686.1juta) and Indonesia (+RM662.1 juta).
Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM4.2bilion); keluaran getah (+RM4.1bilion); barangan perkilangan logam (+RM614.4 juta) dan kimia dan bahan kimia (+RM448.9 juta).
Sementara itu, kenaikan import dicatatkan bagi elektrik dan elektronik (+RM3.4bilion) dan keluaran getah (+RM623.9juta).
Import mengikut penggunaan akhir mencatat peningkatan bagi barangan perantaraan dan penggunaan.
Import bagi barangan perantaraan meningkat 1.4 peratus atau RM538.5 juta kepada RM39.4 bilion dan merangkumi 53.9 peratus daripada jumlah import.
Pada masa yang sama, barangan penggunaan (9.0% daripada jumlah import) mencatatkan kenaikan 1.3peratus daripada RM6.45 bilion pada Januari 2020 kepada RM6.5 bilion.
Di sebaliknya, import bagi barangan modal yang bernilai RM7.2 bilion atau 9.9peratus daripada jumlah import, menurun 5.4 peratus tahun ke tahun.
Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 11 Januari 2021, Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) fasa kedua melibatkan temu ramah secara bersemuka akan disusun semula.
Justeru, orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci boleh mengambil peluang untuk mengisi maklumat banci secara dalam talian (e-Census) yang akan dibuka semula.
Maklumat lanjut berkaitan Banci Malaysia 2020 boleh diperoleh melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media social @MyCensus2020.
#Eksport dan import Malaysia #perangkaan perdagangan luar negeri #prestasi import dan eksport #Mohd Uzir Mahidin #lebihan dagangan