[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
BISNES

Eksport kimchi dijangka catat rekod tertinggi pada 2025 - Data Kastam Korea Selatan

Bernama 24/11/2025 | 02:10 MYT
Jepun kekal sebagai pembeli terbesar kimchi Korea (gambar), mengimport US$47.55 juta dari Januari hingga Oktober, meningkat 4.4 peratus berbanding setahun lalu. - Gambar hiasan
SEOUL: Eksport kimchi Korea Selatan dijangka mencecah paras tertinggi sepanjang masa tahun ini berikutan peningkatan permintaan global terhadap makanan Korea, menurut data kastam pada Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap.

Jualan kimchi ke pasaran luar negara mencecah US$137.39 juta dalam tempoh 10 bulan pertama 2025, meningkat dua peratus berbanding US$134.67 juta yang dicatat pada tempoh sama tahun lalu, menurut data Perkhidmatan Kastam Korea.

Import kimchi turut meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun kepada US$159.46 juta daripada AS$154.59 juta dalam tempoh 10 bulan itu.

Pada kadar semasa, eksport sepanjang tahun dijangka mengatasi rekod terdahulu US$163.57 juta yang dicatat pada 2024, disokong minat global yang berterusan terhadap masakan Korea.

Jepun kekal sebagai pembeli terbesar kimchi Korea, mengimport US$47.55 juta dari Januari hingga Oktober, meningkat 4.4 peratus berbanding setahun lalu.

Eksport ke Amerika Syarikat pula susut 5.8 peratus tahun ke tahun kepada US$36.01 juta, manakala penghantaran ke Belanda menurun 3.3 peratus kepada US$7.97 juta.

-- BERNAMA

#Korea Selatan #Kimchi #eksport #kastam