Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
BISNES

Eksport Malaysia pada Oktober melonjak 15.7 peratus ke paras rekod tertinggi RM148.32 bilion

Bernama 19/11/2025 | 08:40 MYT
MITI berkata jumlah perdagangan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM277.65 bilion, manakala import naik 11.2 peratus kepada RM129.33 bilion. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia meningkat 15.7 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM148.32 bilion pada Oktober 2025, mencapai rekod tertinggi yang dipacu oleh penghantaran sektor pembuatan yang lebih kukuh dan permintaan berterusan untuk produk elektrik dan elektronik (E&E).

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata jumlah perdagangan meningkat 13.6 peratus tahun ke tahun kepada RM277.65 bilion, manakala import naik 11.2 peratus kepada RM129.33 bilion.

“Ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM18.99 bilion, iaitu bulan ke-66 berturut-turut mencatat lebihan sejak Mei 2020,” katanya.

Kementerian itu berkata semua sektor utama mencatatkan pertumbuhan eksport pada Oktober, dengan sektor pembuatan menjadi pemacu utama selepas meningkat 15.7 peratus tahun ke tahun kepada paras rekod RM126.68 bilion.

“Permintaan yang kukuh direkodkan untuk produk E&E serta peralatan optik dan saintifik, kedua-duanya turut mencatat nilai eksport tertinggi setakat ini,” kata MITI.

Ia juga berkata sektor perlombongan mengekalkan momentum positifnya untuk bulan kedua berturut-turut, disokong oleh peningkatan eksport bijih logam dan skrap logam.

“Sementara itu, sektor pertanian mencatat pertumbuhan yang stabil, dipacu oleh eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit yang lebih kukuh,” kata kementerian itu.

MITI berkata Malaysia juga mencatat eksport yang lebih tinggi ke rakan dagangan utama termasuk ASEAN, China, Kesatuan Eropah dan Taiwan.

“Eksport ke rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terus mendapat momentum, dengan peningkatan ketara ke Hong Kong SAR, Mexico, Republik Korea, Australia, Pakistan, Kanada, Peru dan United Kingdom, manakala penghantaran ke Taiwan dan Hong Kong SAR mencatat paras rekod baharu,” menurut kenyataan itu.

Bagi tempoh Januari-Oktober 2025, jumlah perdagangan terkumpul meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun kepada RM2.512 trilion, dengan eksport naik 6.0 peratus kepada RM1.319 trilion dan import berkembang 4.7 peratus kepada RM1.194 trilion.

“Lebihan dagangan sebanyak RM125.02 bilion telah direkodkan bagi tempoh berkenaan,” katanya.

MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) tetap teguh menyokong pengeksport dengan menggalakkan kepelbagaian pasaran, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan, memantau perubahan perdagangan global dan memanfaatkan 18 FTA Malaysia, katanya.

“Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-Emiriah Arab Bersatu (CEPA) yang mula berkuat kuasa pada 1 Oktober, 2025, juga dijangka membantu pengeksport Malaysia memanfaatkan UAE sebagai pintu masuk strategik ke Asia Barat dan rantau sekitarnya,” tambahnya.



#ekonomi malaysia #Nilai eksport Malaysia #MITI #Perdagangan Malaysia