BISNES
Eksport minyak sawit Malaysia kekal tinggi meningkat kepada 1.26 juta tan pada Jun 2025

Eksport minyak sawit Malaysia kekal tinggi pada Jun 2025 meningkat kepada 1.26 juta tan, daripada 1.21 juta tan pada Jun 2024, 1.17 juta tan pada Jun 2023 dan 1.19 juta tan metrik pada Jun 2022. - Gambar fail/hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Eksport minyak sawit Malaysia kekal tinggi pada Jun 2025 meningkat kepada 1.26 juta tan, daripada 1.21 juta tan pada Jun 2024, 1.17 juta tan pada Jun 2023 dan 1.19 juta tan metrik pada Jun 2022.
Bagaimanapun, inventori minyak sawit meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 18 bulan iaitu sebanyak 2.03 juta tan pada bulan yang sama, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam satu kenyataan hari ini.
"Pada separuh pertama 2025, Kenya muncul sebagai pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia, mengatasi negara-negara Kesatuan Eropah (EU) sebanyak 21,000 tan dan China sebanyak 117,000 tan.
"Kenya menyumbang 30 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia ke rantau sub sahara (bahagian selatan) Afrika, dengan unjuran import tahun penuh dari Malaysia mencecah 1 juta tan," kata MPOC.Kenya kekal sebagai pasaran pertumbuhan utama, didorong oleh peningkatan penggunaan domestik, dengan lebih 90 peratus daripada import minyak sawitnya digunakan untuk penggunaan makanan.
Pada masa depan, harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh, didagangkan antara RM4,100 dan RM4,300 setan pada bulan akan datang, disokong oleh permintaan sempena perayaan dari India dan kenaikan harga minyak kacang soya Amerika Syarikat (AS).
"Bagaimanapun, sebarang kenaikan harga minyak sayuran mungkin dihadkan oleh bekalan biji minyak global yang besar, terutamanya kacang soya, kerana pada masa ini tidak berlaku kekurangan biji minyak dalam pasaran," katanya.
Sementara itu, MPOC berkata harga minyak sayuran global pulih semula daripada penurunan awal tahun ini diterajui harga minyak kacang soya yang melonjak 19 peratus sejak Januari, mengatasi kenaikan harga minyak biji sesawi (6.6 peratus) dan minyak sawit (3.7 peratus), manakala minyak bunga matahari meningkat sederhana sebanyak 1.7 peratus.
"Minyak kacang soya kekal sebagai minyak sayuran berprestasi terbaik setakat ini bagi tahun ini, disokong oleh dasar biofuel AS yang diumumkan pada pertengahan Jun, yang dijangka merangsang permintaan terhadap bahan mentah keluaran dalam negara.
"Harga minyak kacang soya yang kukuh telah meningkatkan daya saing harga minyak sawit," katanya.
Hasilnya, MPOC berkata eksport minyak sawit Malaysia ke India pulih dengan ketara sejak April, mengecilkan penurunan terkumpul yang dicatatkan pada suku pertama 2025.
"Import bulanan minyak sawit Malaysia dari India kekal konsisten melebihi 250,000 tan pada Mei dan Jun. Momentum positif ini dijangka berlanjutan ke suku ketiga, disokong oleh penyimpanan semula stok menjelang perayaan Diwali pada pertengahan Oktober dan harga yang lebih baik," katanya.
MPOC berkata India diunjur mengimport kira-kira 2.9 juta tan minyak sawit pada suku ketiga bagi menampung permintaan musim perayaan yang seterusnya akan menyokong harga komoditi itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami