BISNES
Eksport minyak sawit Mei melonjak 25.6 peratus, pengeluaran MSM naik 5.05 peratus - MPOB

Eksport minyak sawit Malaysia meningkat 25.6 peratus kepada 1.39 juta tan pada bulan lepas berbanding 1.10 juta tan pada April, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB). - Foto hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Eksport minyak sawit Malaysia meningkat 25.6 peratus kepada 1.39 juta tan pada bulan lepas berbanding 1.10 juta tan pada April, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Dalam laporan prestasi industri pada Mei 2025, katanya negara mengeluarkan 1.77 juta tan minyak sawit mentah (MSM) pada Mei, menokok 5.1 peratus daripada 1.69 juta tan pada bulan sebelumnya.
Pengeluaran isirung sawit meningkat 2.8 peratus kepada 420,658 tan daripada 409,097 tan pada April.
MPOB berkata pengeluaran minyak isirung sawit mentah menokok 19.2 peratus kepada 210,512 tan daripada 176,644 tan sebelumnya manakala pengeluaran hampas isirung sawit meningkat 20.1 peratus kepada 231,568 tan daripada 192,857 tan.Dari segi inventori, katanya simpanan stok MSM lebih tinggi 4.8 peratus kepada 1.10 juta tan pada Mei daripada 1.05 juta tan pada bulan sebelumnya manakala stok minyak sawit diproses meningkat 9.0 peratus kepada 888,343 tan daripada 814,673 tan pada April.
Menurut MPOB, ini menjadikan jumlah inventori minyak sawit bagi Mei kepada 1.99 juta tan daripada 1.87 juta tan pada bulan sebelumnya.
Mengenai eksport dalam tempoh itu, MPOB berkata eksport minyak isirung sawit melonjak 20.7 peratus kepada 119,182 tan daripada 98,743 tan pada April.
Eksport hampas isirung sawit naik 37.3 peratus kepada 193,328 tan daripada 140,833 tan sebelum ini, eksport oleokimia meningkat 6.0 peratus kepada 232,683 tan daripada 219,520 tan,dan eksport biodiesel naik 39.3 peratus kepada 32,848 tan daripada 23,589 tan.
Tiada import MSM dicatatkan pada Mei manakala import minyak isirung sawit menyusut 43.5 peratus kepada 8,074 tan daripada 14,287 tan pada April.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami