JUMLAH eksport Malaysia pada November 2020 bernilai RM84.4 bilion, terus mencatat pertumbuhan 4.3 peratus berbanding bulan yang sama pada 2019 sebagai mana dilaporkan dalam laporan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri, November 2020 hari ini. Laporan ini turut memaparkan prestasi import dan eksport mengikut produk dan rakan dagangan.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata "Pertumbuhan eksport didorong oleh eksport semula, meningkat 18.1 peratus. Nilai eksport semula RM15.4 bilion, mewakili 18.2 peratus daripada jumlah eksport. Sementara itu, nilai eksport domestik RM69.1 bilion, meningkat 1.7 peratus berbanding November 2019. Import berjumlah RM67.6 bilion, terus mencatat pertumbuhan negatif 9.0 peratus. Ini adalah penurunan bulan kesembilan berturut-turut sejak Mac 2020. Penyusutan yang ketara import menghasilkan lebihan dagangan yang lebih tinggi iaitu RM16.8 bilion, meningkat 151.6 peratus tahun ke tahun. Berlatarbelakangkan keadaan ekonomi global yang mencabar kesan daripada COVID-19, jumlah dagangan Malaysia pada November 2020, menurun 2.0 peratus daripada RM155.2 bilion pada November tahun lalu kepada RM152.0 bilion."

Jabatan Perangkaan Malaysia juga melaporkan bahawa peningkatan dalam eksport didorong oleh eksport yang lebih tinggi ke Amerika Syarikat (+RM1.9 billion), Singapura (+RM1.8 billion), China (+RM1.7 billion), Hong Kong (+RM1.3 billion) and Kesatuan Eropah (+RM457.4 juta). Sementara itu, penurunan import terutamanya dari Singapura (-RM2.2 billion), Kesatuan Eropah (-RM1.1 billion), Emiriah Arab Bersatu (-RM846.3 juta), China (-RM738.7 juta) and Amerika Syarikat (-RM705.2 juta).

Produk utama yang menyumbang kepada peningkatan eksport adalah barangan elektrik dan elektronik (+RM6.5 bilion); keluaran getah (+RM2.9 bilion) dan minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit (+RM433.6 juta). Sementara itu, penurunan import dicatatkan bagi keluaran petroleum (-RM4.1 bilion); kelengkapan pengangkutan (-RM1.1 bilion); barangan perkilangan logam (-RM629.7 juta); jentera, kelengkapan dan peralatan (-RM563.1 juta) dan petroleum mentah (-RM499.8 juta).

Manakala tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 74.1 peratus daripada jumlah import merekodkan penurunan. Barangan perantaraan bernilai RM36.6 bilion atau 54.2 peratus daripada jumlah import, menurun 10.6 peratus tahun ke tahun. Barangan modal berjumlah RM7.2 bilion atau 10.6 peratus daripada jumlah import, menurun 26.5 peratus. Sementara import barangan penggunaan turun 7.2 peratus kepada RM6.3 bilion dan merangkumi 9.3 peratus daripada jumlah import.

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 dilaksanakan melalui dua fasa. Fasa kedua akan bermula pada 20 Januari hingga 6 Februari 2021 secara bersemuka. Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berharap semua rakyat Malaysia dapat memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan kejayaan bancian. Maklumat lanjut berkaitan Banci 2020 boleh diperolehi melalui portal banci iaitu www.mycensus.gov.my atau media social @MyCensus2020.