Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 – Trump & Pemimpin Serantau Berhimpun – Sorotan, Video & Analisis – Ikuti Di Sini
BISNES

Elon Musk mungkin tinggalkan Tesla jika pelan bayaran AS$1 trilion ditolak – Pengerusi

Agensi 27/10/2025 | 22:30 MYT
Kepimpinan Musk amat penting ketika Tesla berusaha menjadi peneraju global dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi autonomi, kata Pengerusi Tesla, Robyn Denholm. - Gambar fail Reuters
KETUA Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk berkemungkinan besar akan meninggalkan syarikat itu sekiranya pelan bayaran berasaskan prestasi bernilai AS$1 trilion tidak diluluskan, demikian amaran Pengerusi Tesla, Robyn Denholm dalam surat kepada para pemegang saham pada Isnin.

Amaran itu dibuat menjelang mesyuarat tahunan Tesla yang dijadual berlangsung pada 6 November, di tengah-tengah kritikan berterusan terhadap lembaga pengarah syarikat yang didakwa gagal bertindak demi kepentingan pemegang saham.

Beberapa pakar tadbir urus dan kumpulan advokasi turut mempersoalkan tahap kebebasan lembaga serta pengaruh Musk dalam syarikat.

Menurut Denholm, pelan bayaran tersebut dirangka bagi memastikan Musk terus komited memimpin Tesla untuk tempoh sekurang-kurangnya tujuh setengah tahun lagi.

“Peranan Musk adalah kritikal kepada kejayaan Tesla,” katanya, sambil menegaskan bahawa tanpa insentif yang sewajarnya, syarikat berisiko kehilangan masa, bakat dan visi beliau.

Tambahnya, kepimpinan Musk amat penting ketika Tesla berusaha menjadi peneraju global dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi autonomi.

Pelan tersebut akan memberikan Musk 12 tranche opsyen saham yang dikaitkan dengan pencapaian sasaran besar, termasuk menjadikan nilai pasaran Tesla mencecah AS$8.5 trilion serta kemajuan dalam teknologi pemanduan autonomi dan robotik.

Dalam surat itu, Denholm turut menyeru para pemegang saham agar menyokong pelantikan semula tiga pengarah lama yang telah bekerjasama rapat dengan Musk, sambil menyifatkan pelan bayaran itu sebagai langkah untuk menyelaraskan insentif Musk dengan nilai pemegang saham dan pertumbuhan jangka panjang syarikat.

Lembaga pengarah Tesla sebelum ini berdepan penelitian rapi berhubung hubungan rapat mereka dengan Musk.

Awal tahun ini, sebuah mahkamah di Delaware membatalkan pelan bayaran Musk yang diluluskan pada 2018, selepas mendapati ia dianugerahkan secara tidak wajar oleh pengarah yang tidak bebas sepenuhnya. - Agensi




#Elon Musk #Tesla #pelan bayaran #kereta elektrik