BISNES
Empat pemegang taruh berperanan penting, perkukuh Agenda Negara Menua
Selain kerajaan, majikan, individu dan organisasi sivil masing-masing berperanan penting dalam memperkukuh Agenda Negara Menua. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Empat pemegang taruh dilihat berperanan penting dalam memastikan rakyat Malaysia dapat menjalani kehidupan yang lebih baik di usia emas.
Tatkala Malaysia sebagai sebuah negara menua, Ketua Jabatan Polisi dan Pengurusan Strategi, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqais Yusoff berkata persedian segenap aspek perlu dilakukan.
Selain kerajaan, majikan, individu dan organisasi sivil masing-masing berperanan penting dalam memperkukuh Agenda Negara Menua.
"Kerajaan berperanan dalam menyediakan dasar, serta bagaimana rakyatnya perlu melalui hari tua kelak.
"Pada masa sama, kita tak boleh letak semua di bahu kerajaan. Kita sebagai individu juga perlu buat persediaan dari segi simpanan, penjagaan kesihatan dan sebagainya.
"Ketiga adalah majikan. Sebab itu di peringkat antarabangsa, majikan juga perlu mencarum kepada pekerja mereka sebagai sebahagian daripada tanggungjawab mereka.
"Akhir sekali adalah badan serta organisasi sivil termasuk badan bukan kerajaan dan pusat zakat," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI baru-baru ini seiring penganjuran Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025.
Agenda Negara Menua menjadi antara tumpuan baharu kerajaan dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bakal dibentang di Parlimen pada Julai depan.
Ia sebagai persediaan negara memandangkan Malaysia secara rasmi akan menjadi negara tua pada 2044 dengan 16 peratus rakyat berstatus pencen.
Sempena persidangan ini, KWSP akan melancarkan Komitmen Kelestarian (Komitmen)- satu langkah penting dalam memperkukuh usaha berterusan KWSP untuk menerajui pelaburan kelestarian dan menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) merentasi setiap aspek operasi dan strategi pelaburannya.
Menyedari bahawa keselamatan persaraan perlu melalui pertimbangan kelestarian bagi memastikan pertumbuhan yang berdaya tahan, Komitmen ini mencerminkan pendekatan berprinsip dan pragmatik, berteraskan tiga tonggak kelestarian: Pemeliharaan Kelestarian Alam Sekitar; Impak Sosial; serta Budaya dan Tadbir Urus.
Selaras dengan Komitmen ini, KWSP turut melaksanakan penambahbaikan strategik terhadap polisi-polisi Pelaburan Lestari (Sustainable Investment) bagi mengukuhkan aspirasi baharu organisasi serta menyelaraskan semula jangkaan KWSP terhadap syarikat pelaburan.