SINGAPURA: Enam syarikat Malaysia tersenarai ke dalam 100 to Watch, edisi tahunan ketiga Forbes Asia yang menonjolkan syarikat kecil dan pemula niaga yang sedang berkembang di seluruh rantau Asia Pasifik.

Syarikat-syarikat itu ialah Aerodyne, BoomGrow, Care Concierge, Involve Asia, Lapasar, dan PolicyStreet.

Senarai 100 to Watch boleh dilihat melalui www.forbes.com/100toWatch dan dalam edisi September Forbes Asia, FedEx.merupakan penaja utamanya.

"Syarikat dalam senarai 100 to Watch Forbes Asia tahun ini memperlihatkan daya tahan, khususnya dengan persekitaran peningkatan kadar faedah serta pendanaan yang agak sukar diperolehi untuk syarikat pemula niaga.

"Oleh itu, syarikat-syarikat dalam senarai tahun ini mewakili mereka yang mempunyai prospek yang kukuh untuk digarap menjadi kisah kejayaan," kata editor Forbes Asia, Justin Doebele, dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan Forbes Asia, aktiviti modal teroka global yang kelihatan suram sekarang ini tidak menghalang pemula niaga di seluruh Asia daripada menceburi bidang baharu.

Senarai tahun ini menyoroti syarikat kecil dan pemula niaga yang menyasarkan pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan atau menggunakan teknologi baharu, daripada AI generatif kepada diagnostik kanser berasaskan darah.

Ini termasuk inovasi mesra alam, seperti pembangunan protein alternatif berasaskan serangga serta pendigitalan dalam pengeluaran susu bagi menambah hasil.

Lain-lain termasuk penyedia perdagangan sosial, yang membantu pelanggan menjual produk pengguna.

Tiga belas negara serta wilayah diwakili dalam 11 kategori termasuk bioteknologi dan penjagaan kesihatan, e-dagang serta peruncitan dan kewangan.

Mendahului senarai untuk tahun kedua berturut-turut adalah Singapura yang menyumbang 20 syarikat ke dalam senarai, diikuti oleh Hong Kong dengan 15 dan tanah besar China dengan 11 firma.

Hab inovasi baru muncul di Indonesia dan Filipina, masing-masing menyumbang 11 dan sembilan syarikat.

Untuk pemilihan senarai 100 to Watch, Forbes Asia menerima penyerahan dalam talian selain menjemput pemecut, inkubator, organisasi PKS, universiti, pemodal teroka dan lain-lain bagi mencalonkan syarikat pilihan mereka.

Daripada 550 penyerahan, hanya 100 syarikat dipilih.

Untuk layak dipertimbangkan, syarikat-syarikat tersebut perlu beribu pejabat di rantau Asia Pasifik, milik persendirian, membuat keuntungan, tidak lebih daripada US$50 juta dalam hasil tahunan terkini dan tidak mempunyai lebih daripada US$100 juta dalam jumlah pembiayaan setakat 7 Ogos.

Editor Forbes Asia akan menilai setiap penyerahan, melihat metrik seperti kesan positif ke atas rantau atau industri, rekod prestasi pertumbuhan hasil yang kukuh atau keupayaan untuk menarik pembiayaan, model perniagaan yang menjanjikan atau pasaran dan kisah yang meyakinkan.

-- BERNAMA