BISNES
Equinix pertimbang buka pusat data kedua di Johor - MB

Onn Hafiz berkata, pertemuan beliau bersama wakil Equinix baru-baru ini membuka lembaran baharu dalam usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negeri ini. - Foto FB Onn Hafiz Ghazi
JOHOR BAHRU: Syarikat infrastruktur digital bertaraf global yang tersenarai di Nasdaq, Equinix Inc, kini sedang mempertimbangkan rancangan untuk membuka pusat data kedua di Johor.
Ringkasan AI
- Equinix pertimbang buka pusat data kedua di Johor, dengan pelaburan berbilion ringgit yang dijangka mengukuhkan kedudukan negeri itu sebagai hab data serantau.
- Pelaburan ini tawar peluang pekerjaan bergaji tinggi (purata lebih RM4,000) dan pembangunan bakat tempatan melalui program Equinix Foundation.
- Kerajaan Johor yakin projek ini pacu ekonomi digital, tingkatkan inovasi, pertukaran teknologi dengan AS, dan sokong kelestarian tenaga hijau.
Menurutnya, Equinix bukan sahaja berminat memperluaskan operasi melalui penubuhan pusat data baharu, malah menzahirkan komitmen yang jelas terhadap pembangunan modal insan Johor.
“Dalam pertemuan ini, pihak Equinix telah menyatakan minat mereka untuk memperluaskan operasi dengan membuka pusat data kedua di Johor. Pelaburan ini dijangka membawa nilai berbilion ringgit dan memberi impak positif kepada ekonomi negeri.
“Selain itu, Equinix turut menegaskan iltizam mereka untuk membangunkan bakat tempatan, bukan hanya melalui tawaran peluang pekerjaan bergaji tinggi dengan purata lebih RM4,000 sebulan, tetapi juga melalui program pendidikan dan pembangunan bakat yang akan dijalankan oleh Equinix Foundation,” katanya menerusi perkongsian dalam Facebook miliknya.
Onn Hafiz menambah, kerajaan negeri yakin kesungguhan syarikat tersebut mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan, peningkatan inovasi tempatan, serta kelestarian sumber di Johor.
Beliau menegaskan, komitmen sebegini amat penting untuk memastikan rakyat negeri ini dapat menikmati manfaat secara langsung daripada kehadiran pelaburan asing berimpak tinggi.
“Kemasukan pelaburan luar negara ini bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan, malah turut meningkatkan keupayaan negeri dalam pertukaran teknologi dengan Amerika Syarikat.
“Ini sudah tentu akan meletakkan Johor pada kedudukan lebih strategik dalam ekosistem ekonomi digital serantau,’’ katanya.
Untuk rekod, Equinix Inc merupakan syarikat multinasional berpangkalan di Redwood City, California, Amerika Syarikat.
Syarikat itu sebelum ini membuka pusat data pertamanya di Nusajaya Tech Park, Iskandar Puteri, dengan pelaburan awal bernilai kira-kira AS$40 juta atau RM188 juta.
Kemudahan berkeluasan 1,800 meter persegi itu direka bentuk dengan tahap kebolehoperasian 99.999 peratus dan dikuasakan sepenuhnya oleh tenaga boleh diperbaharui, selaras dengan dasar tenaga hijau Johor.
Pada masa sama, Equinix turut mengendalikan pusat data kedua di Cyberjaya, yang mula beroperasi pada Januari 2024.
Kehadiran syarikat gergasi seperti Equinix, tambahnya, adalah bukti keyakinan pelabur antarabangsa terhadap Johor sebagai destinasi pelaburan yang berdaya maju.
“Ia juga memperlihatkan potensi besar negeri ini dalam menyokong perkembangan ekonomi digital serta melahirkan tenaga kerja yang lebih berdaya saing pada masa depan,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami