ERL perkenal enam tren baharu

Israr Khalid
Oktober 20, 2016 11:55 MYT
Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) memperkenalkan enam tren baharu untuk perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, pertama kali sejak mula beroperasi pada 2002. -Bernama
Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) memperkenalkan enam tren baharu untuk perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, pertama kali sejak mula beroperasi pada 2002.
Tren yang akan memulakan operasinya pada Mac tahun depan itu dikatakan bakal meningkatkan kapasiti keseluruhan penumpang ERL sebanyak 50 peratus.
Majlis pelancarannya berlangsung di Kompleks Rel Udara Bandar Baru Salak Tinggi hari ini disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Bercakap pada majlis tersebut, Liow berkata pengenalan enam tren baharu itu adalah manifestasi usaha kerajaan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam di bawah pelan strategik menyeluruh transformasi pengangkutan awam di negara ini.
"Peningkatan kapasiti dan keterhubungan dengan sistem rel lain akan menggalakkan peralihan daripada kenderaan persendirian, seterusnya mengurangkan kesesakan dan menambah baik kepuasan orang awam dan kualiti hidup.
"Dengan peningkatan 50 peratus kapasiti, saya yakin ERL bakal menerima penumpang ke 100 juta tidak lama lagi," katanya.
Dua daripada enam tren yang dihasilkan syarikat dari China, CRRC Changchun tersebut akan ditugaskan untuk perkhidmatan KLIA Ekspress sementara empat lagi untuk KLIA Transit.
Ia menampilkan beberapa penambah baikan terhadap ciri-ciri keselamatan dan keselesaannya, seperti lebih 15 peratus kapasiti pendingin hawa, lebih banyak selusur (handrail) serta ruang kaki yang lebih luas.
Ia juga bergerak pada kelajuan 160 kilometer dan dilengkapi sensor tambahan bagi meningkatkan tahap keselamatan.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif ERL, Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata, penambahan kepada 12 tren sedia ada itu juga akan menangani masalah kepadatan dan kesesakan penumpang ERL terutamanya pada waktu puncak.
"Biarpun kadar penumpang menurun sekitar 20 peratus sejak tambang ERL dinaikkan awal tahun ini, kami mencatat peningkatan jumlah pendapatan.
"Sudah pasti daripada itu kami akan meningkatkan kapasiti serta perkhidmatan, dan ia terlihat dengan pembelian tren baharu ini," katanya.
Kadar penumpang bagi KLIA Ekspres ketika ini adalah 21,000 sehari sementara KLIA Transit mencatat 30,000 penumpang sehari.
Dengan bermulanya operasi tren baharu nanti, jumlah itu dijangka meningkat kepada masing-masing 30,000 dan 60,000 penumpang sehari.
#ERL #Express Rail Link #KLIA Transit #Liow Tiong Lai #tren baharu