KUALA LUMPUR: Peralihan tenaga negara tidak lagi hanya bergantung kepada teknologi, grid atau sumber tenaga boleh baharu semata-mata, sebaliknya turut dipacu oleh kepimpinan yang inklusif, pembangunan bakat dan kerjasama rentas sektor.
Perkara itu menjadi fokus sesi dialog "Women Powering the Energy Transition: Leadership, Policy and Digital Innovation" pada hari ketiga Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) yang menghimpunkan pemimpin wanita daripada sektor utiliti, dasar tenaga dan infrastruktur digital untuk berkongsi pandangan mengenai masa depan tenaga negara.
Mewakili penganjur, Ketua Pegawai Regulatory & Stakeholder Management Tenaga Nasional Berhad (TNB), Shahannom Izham, berkata keterangkuman bukan lagi sekadar nilai tambah dalam peralihan tenaga, malah menjadi antara faktor utama bagi memastikan transformasi tersebut dapat dilaksanakan secara mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.
"Peralihan tenaga mesti memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia. Tiada siapa yang boleh tercicir dalam perjalanan ini," katanya ketika sesi dialog anjuran TNB Women In Energy Network (TWiEN) bersempena ETCon26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, antara cabaran utama ketika ini ialah mengimbangi pelbagai keutamaan melibatkan kemampuan pengguna, jaminan kepada pelabur serta aspirasi negara dalam mencapai sasaran tenaga boleh baharu dan peralihan tenaga.
Shahannom berkata kejayaan agenda itu memerlukan kerjasama erat antara TNB, Suruhanjaya Tenaga (ST), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Ekonomi serta pelbagai pihak berkepentingan lain.
"Tiada siapa yang boleh berjaya secara bersendirian.
“Kerjasama dan perkongsian strategik menjadi elemen penting untuk memastikan peralihan tenaga negara dapat dilaksanakan dengan jayanya," ujarnya.
Shahannom turut menegaskan bahawa TNB bukan sahaja melabur dalam pembangunan infrastruktur dan sistem tenaga masa depan, malah memberi penekanan besar kepada pembangunan modal insan bagi melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran baharu yang diperlukan dalam era peralihan tenaga.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Peraturan Ekonomi dan Dasar Pengguna Suruhanjaya Tenaga, Marlinda Mohd Rosli, berkata landskap tenaga yang semakin berkembang memerlukan pengawal selia yang tangkas dan bersedia menyesuaikan dasar dengan perubahan teknologi serta keperluan pengguna.
Menurut beliau, pengguna kini bukan lagi sekadar penerima bekalan tenaga, malah semakin berperanan sebagai “prosumer”yang mahukan lebih kawalan, ketelusan dan kemampanan dalam penggunaan tenaga.
"Kita perlu memastikan bekalan tenaga yang selamat, saksama dan bersih.
“Pada masa sama, kita perlu menjadi jambatan antara teknologi, ekonomi dan kepentingan pengguna," tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa penyertaan wanita dalam sektor tenaga terus berkembang, bukan sahaja dalam bidang teknikal, malah dalam proses membuat keputusan, penggubalan dasar dan kepimpinan strategik yang membentuk hala tuju industri tenaga negara.
Malah, katanya, semakin ramai wanita kini memainkan peranan penting dalam menerajui pelbagai inisiatif yang menyokong agenda peralihan tenaga negara.
Dalam sektor digital pula, Naib Presiden Pengurusan Bakat dan Komunikasi Sumber Manusia DayOne, Vidya TC, berkata ledakan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data bukan sahaja meningkatkan permintaan tenaga, malah mewujudkan keperluan mendesak terhadap bakat serta kemahiran baharu.
Beliau menekankan, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), penggunaan elektrik pusat data global dijangka mencecah 945 terawatt jam menjelang 2030, manakala beban kerja AI menggunakan sehingga 10 kali ganda lebih tenaga berbanding sistem pengkomputeran tradisional.
"Cabaran sebenar bukan hanya kekurangan bekalan tenaga, tetapi kekurangan bakat dan keupayaan.
“Kita memerlukan lebih ramai pakar AI, pakar kemampanan dan pakar dasar untuk menyokong ekosistem ini," katanya.
Vidya turut menekankan bahawa usaha memperkasakan wanita perlu memberi tumpuan kepada pembangunan laluan kerjaya yang membolehkan lebih ramai wanita berkembang sebagai pembuat keputusan dan pemimpin masa depan.
"Penyertaan bukanlah pengaruh. Kita perlu memastikan lebih ramai wanita menjadi pengurus, pemimpin kanan dan ahli lembaga pengarah," jelasnya.
Beliau berkata pelaburan dalam pembangunan bakat, peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) perlu diperkukuh bagi memastikan tenaga kerja, khususnya wanita, terus bersedia menghadapi perubahan pesat yang dibawa oleh AI dan transformasi digital.
Sesi tersebut dikendalikan oleh Ketua (People Journey Solution) Bahagian Modal Insan Kumpulan TNB, Yasmin Mohd Ramzi, yang turut menekankan bahawa peralihan tenaga masa depan memerlukan kepimpinan yang lebih jitu, inklusif dan mampu merentas sempadan industri.
Beliau berkata, wanita kini memainkan peranan yang semakin signifikan dalam membentuk dasar, memacu transformasi utiliti dan membangunkan infrastruktur digital yang menjadi tunjang kepada ekonomi masa depan.
Dengan tema “Energy & AI: The Synergy for Energy Transition”, ETCon26 menghimpunkan kira-kira 4,000 delegasi dari lebih 60 negara bagi membincangkan masa depan tenaga, teknologi, pelaburan dan pembangunan ekonomi mampan.