BISNES

Ethiopian Airlines manfaat permintaan kukuh Asia Pasifik, sasar Malaysia pasaran pesat berkembang

Bernama 03/12/2025 | 03:10 MYT
Ethiopian Airlines menyambung semula perkhidmatan ke Kuala Lumpur pada 25 Mac, 2023 dengan tiga penerbangan seminggu, dan setakat ini sambutannya sangat menggalakkan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lonjakan permintaan perjalanan udara antara Afrika dan Asia yang semakin melonjak mendorong Ethiopian Airlines memperkukuh operasinya di rantau Asia Pasifik (APAC) dengan Malaysia muncul sebagai satu daripada pasaran paling pesat berkembang.


Ringkasan AI
  • Permintaan perjalanan udara Afrika ke Asia Pasifik mendorong Ethiopian Airlines memperkukuh operasi di Malaysia sebagai pasaran yang pesat berkembang.
  • Malaysia mencatat momentum pertumbuhan kukuh berhubung dengan peningkatan kapasiti tempat duduk ke Afrika yang diprediksi meningkat 137.8% tahun ini.
  • Ethiopian Airlines menyasarkan penyambungan lancar antara Asia dan lebih 60 destinasi di Afrika dengan pengembangan laluan baru di Asia Pasifik seperti Australia, Arab Saudi, dan Maldives.


Pengurus Serantau syarikat itu, Telila Deressa Gutema berkata strategi semasa syarikat itu memberi tumpuan kepada perluasan rangkaian, peningkatan kekerapan penerbangan serta pemodenan barisan pesawatnya bagi memenuhi permintaan penumpang dan kargo yang semakin meningkat di hab utama Asia.

Menurut beliau, syarikat penerbangan itu kini mengutamakan pasaran seperti Singapura, Kuala Lumpur, China dan Jepun, disokong oleh pesawat jarak jauh moden termasuk Boeing 787 Dreamliner dan Airbus A350.

"Visi Ethiopian Airlines adalah membina rangkaian global yang saling berhubung bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi, budaya dan sosial. Asia Pasifik menjadi teras kepada aspirasi itu," katanya kepada Bernama baru-baru ini.



Malaysia terus catat momentum pertumbuhan kukuh



Ethiopian Airlines menyambung semula perkhidmatan ke Kuala Lumpur pada 25 Mac, 2023 dengan tiga penerbangan seminggu, dan setakat ini sambutannya sangat menggalakkan, dipacu oleh aktiviti perniagaan, pelancongan dan perjalanan ibadah.

"Terdapat trend penumpang menggunakan Addis Ababa sebagai pintu masuk ke benua Afrika. Kami akan menyelaras kekerapan berdasarkan permintaan berterusan dalam tempoh akan datang," kata Telila.

Keyakinan syarikat itu turut disokong data Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), yang menjangkakan kapasiti tempat duduk ke Afrika meningkat 137.8 peratus tahun ini, sekali gus menjadikan Malaysia antara rantau antarabangsa yang paling pesat berkembang.

Telila mengaitkan momentum ini dengan peningkatan pendapatan isi rumah, proses visa yang dipermudah, serta minat rakyat Malaysia terhadap budaya dan tawaran eko-pelancongan di Afrika.

"Gabungan faktor ini membuka peluang baharu untuk perniagaan dan pelancongan, terutamanya laluan penting yang menghubungkan Afrika dan Malaysia. Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada penumpang, malah ekonomi dan pertukaran budaya antara rantau," katanya.



Memperkukuh hubungan Malaysia-Afrika



Visi untuk pengembangan laluan yang lebih luas mencerminkan minat baharu terhadap Afrika, terserlah menerusi lawatan tiga negara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ethiopia, Afrika Selatan, dan Kenya baru-baru ini, yang menekankan usaha Malaysia untuk memperkukuh hubungan ekonomi dengan benua itu.


Telila berkata lawatan tersebut menunjukkan peluang peningkatan kerjasama yang meluas antara kedua-dua wilayah, terutamanya dalam perdagangan, pelaburan, dan pelancongan.

"Perkembangan ini selari dengan misi kami untuk memperkukuh hubungan Asia-Afrika. Kami melihat peranan kami sebagai penghubung bagi menggerakkan pergerakan manusia, idea dan modal," katanya.


Lawatan Anwar ke "Horn of Africa" pada 18-20 November lepas merupakan lawatan pertama Perdana Menteri Malaysia, yang turut meraikan pembukaan semula Pejabat Perwakilan Malaysia di Addis Ababa pada 23 Sept, 2025 selepas 42 tahu ditutup.

Dalam lawatan itu, kedua-dua negara memeterai perjanjian perkhidmatan udara dua hala bagi menyediakan rangka kerja undang-undang dan peraturan untuk pengendalian perkhidmatan pengangkutan udara antarabangsa antara syarikat penerbangan yang ditetapkan Malaysia dan Ethiopia.

Nilai dagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta meningkat 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Susulan itu, Telila berkata Ethiopian Airlines menyasarkan penyambungan lancar antara hab utama Asia dan lebih 60 destinasi di Afrika, seiring rancangan perluasan armada serta peningkatan kekerapan penerbangan di laluan berpermintaan tinggi.



Pengembangan di Asia Pasifik dan perkongsian baharu



Ketika ini, Ethiopian Airlines mengendalikan sekitar 120 kali kekerapan penerbangan mingguan merentasi hampir 20 destinasi di Asia.

Syarikat penerbangan itu juga sedang meneroka peluang bagi laluan APAC baharu, dengan pasaran seperti Australia, Arab Saudi dan Maldives antara yang disasarkan bagi 2026-2027.

Bagi meningkatkan kesalinghubungan, Telila berkata syarikat penerbangan itu telah meluaskan perkongsian, termasuk perniagaan bersama strategik baharu dan pengaturan perkongsian kod dengan Etihad Airways, menyediakan pilihan perjalanan yang lancar ke Abu Dhabi, Kuala Lumpur, Osaka dan destinasi serantau terbaharu seperti Phnom Penh.

Sementara itu, keahliannya dalam Star Alliance turut memberi penumpang akses kepada lebih 1,300 lapangan terbang di lebih 190 negara.



Permintaan perjalanan Afrika-Asia capai tahap tertinggi baharu



Memetik data pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Telila berkata Afrika menyaksikan pertumbuhan permintaan perjalanan yang luar biasa antara benua itu dan rantau Asia Pasifik, dengan kenaikan 12 peratus dalam kalangan pelancong antarabangsa pada separuh pertama 2025, berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh ekonomi yang kukuh dan pertukaran budaya antara kedua-dua rantau tersebut.

"Kami turut melihat lebih banyak kalangan peniaga dan usahawan Afrika berhubung dengan pasaran Asia yang pesat membangun, terutamanya dalam eksport pembuatan, mineral, dan tenaga, selain pertanian," katanya.

Selain itu, kata beliau, permintaan rekreasi turut meningkat terutamanya dalam kalangan pengembara muda yang ingin merasai pengalaman safari, penerokaan budaya dan pelancongan berasaskan alam semulajadi.

Bukan itu sahaja, perkhidmatan terus syarikat penerbangan itu ke Singapura, Guangzhou dan Tokyo telah memendekkan tempoh perjalanan dengan ketara untuk pelancong yang berpangkalan di Asia, sekali gus meningkatkan ketersambungan ke lebih 60 destinasi di Afrika menerusi hab Addis Ababa.



Pemodenan armada untuk menyokong pertumbuhan



Seiring dengan permintaan yang meningkat dengan pesat, Ethiopian Airlines kini meningkatkan pelaburan dalam pertumbuhan dan kemampanan barisan pesawatnya.

Ketika ini, syarikat penerbangan itu beroperasi dengan 143 pesawat, terdiri daripada kira-kira 80 jet berbadan lebar seperti A350 dan B787, serta 63 pesawat berbadan sempit, termasuk Boeing 737 dan Bombardier Q400.

Menurut Telila, tempahan telah dibuat bagi 11 pesawat Boeing 787-9 Dreamliner, lapan Boeing 777-9 dan 11 Airbus A350-900, bertujuan menyokong kesalinghubungan jarak jauh merentasi APAC.

Beliau menekankan bahawa syarikat penerbangan itu komited terhadap kemampanan, menekankan untuk menaik taraf armada yang cekap bahan api, mengoptimumkan perancangan laluan, dan penggunaan bahan api penerbangan lestari (SAF) secara beransur-ansur untuk mencapai peneutralan karbon menjelang 2050.



Prospek bagi 2026



Melangkah ke hadapan, beliau berkata Ethiopian Airlines mengekalkan prospek optimistik untuk tahun hadapan, dipengaruhi oleh pemulihan APAC yang kukuh dan permintaan pelancongan antarabangsa yang semakin meningkat.

"Rantau ini menunjukkan pemulihan yang pesat, didorong oleh peningkatan golongan pertengahan dan permintaan yang berdaya tahan bagi pelancongan global.

"Kami melihat 2026 sebagai langkah penting bagi membentuk semula cara Asia dan Afrika berhubung," kata Telila.

Pasaran pertumbuhan utama bagi Ethiopian Airlines pada 2026 termasuk Malaysia, Singapura, China dan India, dengan rancangan untuk meningkatkan kehadirannya di Asia Tenggara menerusi kerjasama antara kerajaan dan industri.

"Memandangkan APAC berkembang sebagai pemacu dalam pelancongan global, kami bercita-cita untuk memastikan bahawa perjalanan udara antara Afrika dan Asia adalah terbuka, kerap dan boleh dipercayai," katanya.

-- BERNAMA



#Ethiopian Airlines #Asia Pasifik #pasaran paling pesat berkembang #Afrika