PUTRAJAYA: Pelaburan asing di Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih RM14.6 bilion pada tahun 2020 berbanding RM32.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Jumaat, pelaburan luar negara pula mencatatkan RM11.9 bilion.

Tambahnya pada akhir tahun 2020, kedudukan FDI mencatatkan nilai lebih tinggi RM698.8 bilion.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, aktiviti ekonomi di peringkat global terjejas dengan teruk sepanjang tahun 2020 berikutan penularan pandemik COVID-19 yang seterusnya mempengaruhi prestasi pelaburan global.

"Berdasarkan kepada UN Conference on Trade and Development (UNCTAD), FDI secara global jatuh 42 peratus pada tahun 2020 berbanding 2019.

"Oleh yang demikian, pelaburan asing ke Malaysia pada 2020 menurun sebanyak 54.8 peratus untuk mencatatkan RM14.6 bilion, yang terendah sejak 2009 (RM5.1 bilion)," katanya.

Ujar Mohd Uzir walaupun aliran FDI jatuh pada tahun 2020, trend menurun ini tidak berterusan pada permulaan tahun 2021 berdasarkan Statistik FDI dan DIA Suku Pertama 2021 yang diterbitkan pada Mei lepas.

“Aliran FDI di Malaysia menunjukkan pemulihan dengan mencatatkan RM9.1 bilion yang merupakan pelaburan tertinggi sejak Malaysia dilanda penularan pandemik COVID-19.

"Peningkatan dalam pelaburan ini disumbangkan oleh aliran masuk ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih tinggi, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Uzir menerangkan bahawa sektor perkhidmatan yang menguncup 60.5 peratus tahun ke tahun kepada RM6.9 bilion telah menyebabkan penurunan terbesar dalam FDI.

Namun, beliau menekankan bahawa kemerosotan ini bukanlah tanda yang tidak menguntungkan. 

Sebaliknya, sektor ini kekal sebagai penyumbang utama kepada aliran FDI dengan sumbangan 47 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan terutamanya dalam aktiviti kewangan.

Manakala, sektor pembuatan merupakan penyumbang kedua terbesar hasil daripada penerimaan ekuiti yang lebih tinggi terutamanya dalam produk elektrik dan elektronik, diikuti oleh sektor perlombongan dalam instrumen hutang.

Menjelaskan lebih lanjut berkenaan pelaburan Malaysia bersama lebih daripada 190 buah negara Mohd Uzir berkata rantau Asia kekal menjadi sumber utama FDI di Malaysia pada 2020 dengan aliran masuk bersih sebanyak RM18.3 bilion.

Ujar beliau kebanyakannya diterima dari Singapore, Thailand dan China yang berjumlah RM11.5 bilion.

"Ini merupakan penurunan daripada aliran masuk bersih RM26.9 bilion pada tahun sebelumnya yang menyebabkan trend penurunan dalam prestasi pelaburan di rantau ini,” katanya.

Mohd Uzir menekankan bahawa walaupun Malaysia mencatatkan aliran FDI yang lebih rendah pada tahun 2020, FDI terkumpul telah meningkat sebanyak RM11.0 bilion, mencapai RM698.8 bilion.

Sektor perkhidmatan merupakan penerima terbesar pada 51.6 peratus atau RM360.4 bilion, dipacu oleh aktiviti kewangan dan borong.

Ini diikuti oleh sektor pembuatan yang merangkumi 39.2 peratus daripada keseluruhan FDI, terutamanya dalam produk elektrik dan elektronik.

Seperti mana prestasi FDI, DIA turut menguncup sebanyak 54.0 peratus untuk merekodkan RM11.9 bilion disebabkan oleh pelaburan yang lebih rendah dalam sektor perlombongan dan perkhidmatan.

Mohd Uzir memaklumkan bahawa perkhidmatan kekal sebagai sektor terpenting bagi DIA, menyumbang 54.0 peratus daripada keseluruhan pelaburan, terutamanya dalam aktiviti kewangan dan telekomunikasi.

Ini diikuti oleh sektor pembuatan, khususnya dalam produk makanan dan minuman; serta petroleum, kimia, getah dan plastik, terutamanya ke Kanada, United Kingdom dan Indonesia.

Bagi prestasi DIA pada ST1 2021 pula, DIA Malaysia menunjukkan trend meningkat dengan merekodkan aliran keluar bersih RM7.8 bilion pada suku ini, terutamanya disumbangkan oleh aliran keluar ekuiti dan dana pelaburan saham yang lebih tinggi.

Pelaburan terkumpul di luar negara juga meningkat kepada RM518.8 bilion, sebahagian besarnya ke Singapore dan Indonesia, manakala United Kingdom telah mengatasi Cayman Islands sebagai destinasi utama yang ketiga.

Analisis lanjut mengenai perolehan pendapatan bagi pelaburan dalam tahun 2020, beliau menyatakan gangguan luar biasa ke atas ekonomi global telah menyebabkan pendapatan yang lebih rendah bagi kedua-dua FDI dan DIA berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun syarikat FDI memperoleh pendapatan yang lebih tinggi daripada DIA, pulangan pelaburan (ROI) telah berkurang kepada RM0.06 daripada RM0.08 pada 2019 untuk setiap RM1.00 pelaburan manakala syarikat Malaysia hanya menerima RM0.04 bagi setiap RM1.00 ke atas pelaburan di luar negeri.

Sektor pembuatan memperoleh pendapatan tertinggi daripada FDI manakala pendapatan oleh DIA adalah daripada sektor perkhidmatan terutamanya dalam aktiviti kewangan.

Mohd Uzir merumuskan, walaupun terdapat peningkatan evolusi pandemik yang dinamik, risiko penularan dan tindakan pembendungan diperbaharui akan terus mempengaruhi aktiviti pelaburan, ekonomi Malaysia dijangka terus meningkat dalam 2021 berdasarkan prestasi petunjuk ekonomi utama yang lebih baik
pada suku tahun pertama.

Meskipun penurunan pelaburan asing mungkin kelihatan membimbangkan, FDI di Malaysia mencatatkan aliran masuk lebih tinggi pada ST1 2021 dan FDI terkumpul juga kekal tinggi, menandakan peningkatan prestasi pelaburan pada tahun ini.

Beliau juga menyatakan bahawa pemulihan pelaburan ekonomi pada tahun 2021 dapat disokong dengan usaha menarik pelaburan berkualiti dalam merancakkan aliran masuk pelaburan di sektor bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan berimpak tinggi serta projek yang berinsentifkan modal bagi kemajuan
ekonomi yang lebih mampan.