BUSINESS
FGV terima tawaran pengambilalihan tanpa syarat daripada Felda pada RM1.30 sesaham
Tawaran Felda untuk mendapatkan semua baki saham dalam FGV itu terbuka dalam tempoh sekurang-kurangnya 21 hari daripada tarikh notis. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd (FGV) menerima tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang bertujuan untuk mendapatkan semua baki saham dalam syarikat itu yang belum dimilikinya.
Ringkasan AI
- Felda membuat tawaran pengambilalihan sukarela tanpa syarat untuk membeli semua baki saham FGV pada harga RM1.30 sesaham, sebagai langkah mengukuhkan pegangan dalam syarikat itu.
- Setakat ini, Felda dan pihak berkaitan (PAC) telah menguasai 86.93% saham FGV, dengan tawaran rasmi akan dikemukakan kepada pemegang saham selepas disahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
- Tawaran ini terbuka sekurang-kurangnya selama 21 hari dan boleh dilanjutkan, namun hanya boleh ditarik balik dengan kebenaran bertulis daripada Suruhanjaya Sekuriti.
Menerusi notis yang dikeluarkan oleh Maybank Investment Bank Bhd bagi pihak Felda, tawaran itu mencadangkan bayaran tunai sebanyak RM1.30 sesaham untuk semua saham biasa FGV yang tidak dipegang oleh Felda ketika ini.
Setakat 20 Mei 2025, jumlah modal saham terbitan FGV adalah sebanyak RM7.02 bilion, terdiri daripada 3.64 bilion saham biasa dan satu saham khas dipegang oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Pada masa ini Felda memiliki 69.50 peratus ekuiti FGV, berjumlah 2.53 bilion saham.
Dengan tawaran baharu ini, Felda dan pihak-pihak yang menyelaras bersama (PAC) secara kolektif memegang pegangan kawalan sebanyak 86.93 peratus dalam syarikat gergasi perladangan dan perniagaan tani itu.
Pihak PAC termasuk anak syarikat milik penuh Felda, Felda Asset Holdings Company Sdn Bhd, bersama-sama dengan kerajaan negeri Pahang.
PAC lain termasuk Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Bhd, yang lembaga pengarahnya terdiri daripada pengurusan Felda, serta Sulong Jamil Mohamed Shariff dan isterinya, Salina Samsudin.
Tawaran itu akan dikemukakan secara rasmi kepada pemegang saham melalui dokumen tawaran, yang menggariskan terma, syarat dan prosedur penerimaan.
"Dokumen ini, bersama-sama dengan borang yang berkaitan, akan dihantar sebaik sahaja Suruhanjaya Sekuriti mengesahkan tidak mempunyai ulasan lanjut lagi tentang kandungannya," katanya.
Langkah itu menandakan usaha berterusan Felda untuk mengukuhkan pegangan dalam FGV, berikutan gerakan strategik sebelum ini untuk meningkatkan kepentingannya dalam syarikat itu.
Tawaran Felda untuk mendapatkan semua baki saham dalam FGV itu terbuka dalam tempoh sekurang-kurangnya 21 hari daripada tarikh notis.
Tempoh tawaran boleh dilanjutkan mengikut budi bicara Felda, dengan sebarang perubahan pada tarikh tutup akan diumumkan oleh Maybank Investment Bank sekurang-kurangnya dua hari lebih awal.
Tawaran itu hanya boleh ditarik balik dengan kebenaran bertulis daripada Suruhanjaya Sekuriti, yang mana dalam hal ini semua obligasi di bawah tawaran akan terbatal.
-- BERNAMA