Skip to main content

Bisnes

Firma global dari Amerika Syarikat, KKR labur dalam Avisena Healthcare

Firma Global dari Amerika Syarikat, KKR labur dalam Aviseva Healthcare -- dagangnews
Avisena bermula sebagai sebuah kemudahan perubatan kecil di Shah Alam pada 1996 sebelum dikenali sebagai DEMC pada 2001 dan dijenamakan semula pada 2018. - Foto DagangNews
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemasukan KKR & Co sebagai pelabur strategik dalam Avisena Healthcare membuka lembaran baharu perluasan perkhidmatan kesihatan swasta Malaysia, ketika permintaan terhadap rawatan berkualiti tinggi terus meningkat dan menarik perhatian pelabur asing.

Menurut Reuters, firma pelaburan global berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS) yang sudah melabur lebih AS$20 bilion (RM80.8 bilion) dalam sektor penjagaan kesihatan di seluruh dunia itu dilaporkan bersetuju untuk mengambil kepentingan minoriti dalam Avisena Healthcare.

Nilai transaksi tersebut bagaimanapun tidak didedahkan oleh KKR ketika dihubungi agensi berita antarabangsa berkenaan, manakala Avisena juga belum memberikan sebarang butiran kewangan berhubung urus niaga tersebut.

Pelaburan itu dijangka menyokong fasa pertumbuhan seterusnya Avisena yang kini memasuki 30 tahun operasi, termasuk perluasan tawaran kepakaran pelbagai bidang di hospital utamanya di Shah Alam, Selangor.

Selain itu, dana daripada KKR menurut Reuters, turut dijangka membantu pembinaan hospital baharu di Lembah Klang, sekali gus memperluaskan kapasiti rawatan kumpulan dalam pasaran penjagaan kesihatan swasta Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Avisena Healthcare, Elina Nadia Omar berkata, kepakaran KKR dalam sektor penjagaan kesihatan serantau serta pengalaman globalnya dijangka membantu kumpulan memperluas keupayaan dan mengukuhkan tawaran klinikal.

"Kerjasama tersebut juga akan membolehkan Avisena menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi kepada lebih ramai pesakit, termasuk menerusi pengembangan rangkaian dan perkhidmatan perubatannya," kata beliau.

Sebelum ini, pada Julai 2026, Bain Capital, KKR dan KV Asia Capital dilaporkan Reuters sudah disenarai pendek untuk mengambil kepentingan minoriti dalam Avisena, melibatkan urus niaga berpotensi menilai syarikat itu sekitar RM1.5 bilion.

Menurut sumber agensi tersebut yang dipetik ketika itu, kepentingan ditawarkan dianggarkan sekitar 20% hingga 25%, bernilai kira-kira RM300 juta hingga RM400 juta, walaupun nilai dan butiran transaksi tidak didedahkan.

Minat pelabur global terhadap aset penjagaan kesihatan Asia Tenggara didorong pertumbuhan pendapatan, populasi yang semakin berusia serta peningkatan permintaan terhadap rawatan perubatan swasta.

Malaysia turut menyaksikan minat kukuh terhadap sektor berkenaan apabila Sunway Healthcare Berhad berjaya mengumpul RM2.9 bilion melalui penyenaraian awam awalnya tahun ini.

Avisena bermula sebagai sebuah kemudahan perubatan kecil di Shah Alam pada 1996 sebelum dikenali sebagai DEMC pada 2001 dan dijenamakan semula pada 2018.

Kini, kumpulan itu merangkumi Avisena Specialist Hospital, Avisena Women's & Children's Specialist Hospital dan Avisena Renal Care, dengan lebih 250,000 pesakit tempatan dan antarabangsa setahun, lima kemudahan perubatan, lebih 75 pakar pemastautin serta perkhidmatan meliputi 60 bidang kepakaran. - DagangNews.com
 

Must Watch Video

Advertisement