Skip to main content

Bisnes

Gaji bumiputera, bukan bumiputera meningkat lebih lima peratus - DOSM

DOSM, bumiputera gaji, Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir pada sidang media Program Simfoni Data & Media: Wacana Khas Bersama Ketua Perangkawan Malaysia di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Putrajaya.
Advertisement

PUTRAJAYA: Purata gaji pekerja bumiputera dan bukan bumiputera mencatat peningkatan melebihi lima peratus, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, perkembangan itu menunjukkan pencapaian positif dalam corak pendapatan rakyat meskipun masih terdapat ruang untuk memperkukuh penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi berdaya maju.

“Jika kita tengok dari segi gaji, secara umumnya gaji bumiputera dan bukan bumiputera meningkat dalam kadar yang agak baik, satu pencapaian lebih daripada lima peratus sekarang ini.

“Sudah tentu terdapat perbezaan dari segi komposisi dan saiz populasi antara kumpulan etnik. Bagi sesetengah kumpulan yang mempunyai bilangan lebih kecil, peningkatan itu mungkin lebih ketara. Namun bagi bumiputera yang mempunyai populasi lebih besar, pencapaian secara purata akan dipengaruhi oleh keseluruhan komposisi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Program Simfoni Data & Media: Wacana Khas Bersama Ketua Perangkawan Malaysia di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Putrajaya, pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata DOSM turut membangunkan sebuah dashboard khas bagi memantau pencapaian bumiputera berdasarkan pelbagai indikator ekonomi dan sosial yang terkandung dalam Laporan Ekonomi Bumiputera.

Beliau berkata, platform berkenaan diwujudkan sebagai pusat rujukan setempat yang membolehkan orang ramai dan pembuat dasar meneliti perkembangan pencapaian bumiputera dengan lebih mudah dan sistematik.

Menurutnya, dashboard tersebut menghimpunkan beberapa pemboleh ubah utama termasuk corak agihan gaji, pendapatan, pencapaian ekonomi serta indikator sosial yang boleh dipantau dari semasa ke semasa.

“Kita telah diminta untuk menyediakan dashboard sebagai pusat rujukan setempat mengenai pencapaian bumiputera. Di situ kita letakkan beberapa pemboleh ubah utama termasuk corak agihan gaji, pencapaian ekonomi, indikator sosial dan juga laporan pendapatan.

“Dengan adanya teknologi, kita dapat membuat visualisasi data mengikut siri masa supaya sasaran yang ditetapkan dapat dipantau secara berterusan. Jadi kita permudahkan maklumat ini dalam bentuk dashboard dan ia akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa termasuk dari segi analitik,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata prestasi ekonomi bumiputera secara keseluruhannya menunjukkan perkembangan yang positif, namun masih terdapat ruang penambahbaikan khususnya dalam meningkatkan penyertaan golongan itu dalam sektor ekonomi berdaya saing dan bernilai tinggi.

“Secara umumnya peningkatan penyertaan ekonomi bumiputera itu bergerak ke hadapan, tetapi masih ada ruang supaya keterlibatan bumiputera dalam sektor-sektor yang berdaya maju dapat dipertingkatkan.

“Perkara paling penting ialah memastikan tahap minimum atau threshold yang diperlukan dapat dicapai dalam keadaan ekonomi yang semakin terbuka. Pada masa sama, agenda bumiputera perlu terus diterjemahkan melalui data-data ekonomi yang dapat memberi petunjuk jelas mengenai pencapaiannya dari semasa ke semasa,” katanya.

Mohd Uzir berkata, data yang dikumpulkan menerusi pelbagai laporan dan platform pemantauan itu akan terus menjadi asas penting dalam menilai keberkesanan dasar serta kemajuan agenda pembangunan bumiputera pada masa hadapan.

Must Watch Video

Advertisement