Gamuda Land, Maxis bentuk perkongsian laksana 5G bagi Gamuda Cove

Bernama
Julai 16, 2019 20:00 MYT
Dari kiri, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis Paul McManus, CEO Maxis Gokhan Ogut, CEO Gamuda Land Ngan Chee Meng dan COO Gamuda Land Aw Sei Cheh pada majlis menandatangani MoU di Kuala Lumpur, 16 Julai, 2019. Foto Maxis
Cabang hartanah Gamuda Bhd, Gamuda Land dan Maxis membentuk perkongsian strategik untuk melantik syarikat komunikasi dan perkhidmatan digital bagi mewujudkan perbandaran teknologi rangkaian selular generasi kelima (5G) Maxis pertama Malaysia untuk Gamuda Cove, apabila 5G dilancarkan di negara ini.
Dalam kenyataan bersama, syarikat itu berkata perkongsian tersebut akan turut menyaksikan kedua-dua pihak mengkaji penyelesaian bandar pintar dan peruncitan pintar dalam semua perbandaran Gamuda Land di Malaysia.
Gamuda Land akan turut bekerjasama dengan Maxis untuk meningkatkan sebahagian daripada Gamuda Cove dengan jaringan jalur lebar berkelajuan tinggi, membuka lebih banyak kemungkinan kepada perkhidmatan digital untuk komuniti perbandaran dan perniagaan.
Gamuda Cove merupakan pembangunan perbandaran terkini Gamuda Land, terdiri daripada lebih 20,000 unit kediaman apabila siap sepenuhnya.
Terletak di Lembah Klang Selatan di sepanjang Lebuhraya Elite dan berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2, Gamuda Cove dijangka menjadi perbandaran yang menyeluruh dengan komponen kediaman, komersial, kesihatan, hiburan dan pendidikan.
Perkongsian itu susulan daripada kerjasama sebelum ini pada 2018 apabila Maxis menyediakan pelan fiber MaxisOne Home yang disesuaikan untuk perbandaran twentyfive.7 Gamuda Land di Kota Kemuning.
-- BERNAMA
#5G #bandar pintar #Gamuda #Gamuda Cove #Gamuda Land #hartanah #jalur lebar #Maxis #perkongsian strategik #peruncitan pintar #teknologi