KUALA LUMPUR: Moody's Analytics melihat sedikit pendedahan secara langsung kepada potensi kehilangan import dari Rusia atau Ukraine di rantau Asia-Pasifik (APAC) kecuali satu-satunya import penting iaitu import minyak dan arang batu ke China dan penghantaran khusus seperti baja ke Indonesia dan Malaysia.

Risiko utama bagi APAC ialah perlu membayar harga global yang lebih tinggi untuk semua komoditi, katanya.

"Rantau Asia Pasifik sebahagian besarnya tidak terkesan daripada inflasi yang cepat berlaku kini di Eropah dan Amerika Utara, " kata firma penyelidikan itu dalam laporan analisis bertajuk "APAC's Small Direct Exposure to Russian Trade Won't Hold Back Rising Inflation."

"Tetapi menjelang suku kedua tahun ini, harga komoditi global yang tinggi dijangka berlaku, ia akan mula berlaku terhadap harga pengeluar dan pengguna di seluruh rantau ini," katanya.

Moody's Analytics berkata Australia, Malaysia dan Indonesia ialah pengeksport bersih komoditi berasaskan tenaga dan ia termasuk minyak mentah, petroleum, gas asli, dalam bentuk gas lain dan arang batu dalam rantau Asia Pasifik.

Lain-lain negara utama di rantau APAC ialah pengimport bersih komoditi tenaga, kurang daripada dua peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk New Zealand dan sehingga hampir lapan peratus KDNK untuk Singapura.

"Namun, import bersih dari Rusia dan Ukraine melibatkan bahagian kecil berjumlah tidak lebih daripada satu peratus daripada KDNK.

"Pendedahan terhad kepada komoditi tenaga yang diimport dari Rusia atau Ukraine adalah konsisten merentasi minyak mentah dan petroleum, gas asli cecair (LNG) dan gas-gas lain serta arang batu," katanya.

Oleh itu, ia menyatakan bahawa kesan langsung daripada gangguan bekalan dari Rusia atau Ukraine adalah kecil.

Sementara itu, Moody's Analytics berkata bank pusat di rantau ini akan memulakan proses normalisasi dasar lebih cepat memandangkan prestasi ekonomi yang kukuh di kebanyakan wilayah APAC sejak suku keempat tahun lalu tidak termasuk China, India dan Jepun.

"Taiwan mendahuluinya pada 17 Mac dengan peningkatan 25 mata asas yang mengejutkan dalam kadar dasar faedahnya, satu langkah yang tidak dijangka berlaku sehingga pertengahan tahun. Negara itu menyertai Korea Selatan, Singapura, dan New Zealand dalam perjalanan menuju normalisasi dasar," katanya.

"China, sebaliknya, akan kekal sebagai kitaran balas kerana ia merangsang ekonomi melalui dasar fiskal dan monetari dalam usaha untuk mencapai kadar pertumbuhan 5.5 peratus tahun ini," kata firma penyelidikan itu.

-- BERNAMA