KUALA LUMPUR: Gas akan menjadi komponen penting tenaga negara pada masa hadapan kerana dilihat berupaya mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti udara apabila menggantikan kebergantungan arang batu dan bahan api yang lain.

Ia turut menjamin kelestarian tenaga negara sejajar usaha untuk mencapai negara sifar bersih menjelang 2050.

Setiausaha Agung Persatuan Gas Malaysia (MGA), Rosman Hamzah berkata, ketika beberapa rantau menuju negara sifar bersih, bagaimanapun masih ada sejumlah 759 juta populasi yang tidak mempunyai akses sumber elektrik dan kira-kira 2.6 bilion masih kekurangan akses kepada bahan api bersih untuk memasak.

Oleh itu, beberapa perkara perlu diberikan perhatian sebelum perubahan tenaga dapat direalisasikan di sesebuah kawasan, iaitu dengan menitikberatkan penyeimbangan ‘trilemma’ tenaga.

“Pertamanya adalah sekuriti tenaga yang akan memastikan tiada sebarang gangguan bekalan tenaga berlaku. Kedua adalah ekuiti tenaga yang mana untuk memastikan akses kepada sumber tenaga yang saksama dan mampu milik.

“Akhir sekali, ketiga adalah kelestarian alam sekitar yang mana untuk memastikan penggunaan tenaga yang berhemah untuk memastikan keselamatan alam sekitar yang terjamin,” katanya dalam webinar LINC@AWANI: Energizing Malaysia’s Future, with Gas, pada Jumaat.



Sementara itu, Penolong Profesor Perniagaan dan Masyarakat, Asia School of Business (ASB), Dr Renato Lima de Oliveira berkata, selain mampu meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan negara, gas juga bersifat fleksibel.

“Apa yang menarik perhatian saya adalah apabila kita bercakap mengenai tenaga masa hadapan Malaysia terutama melalui gas, dunia sedang bergerak ke arah tenaga yang pelbagai, tidak ada sumber tenaga khusus yang akan menggantikan apa yang kita ada hari ini, sebaliknya kita mempunyai pelbagai sumber tenaga yang berbeza.

“Namun, apakah kelebihan dan peranan gas? Ini yang perlu kita ketahui.  Baru-baru ini pada World Energy Outlook (WEO) oleh pakar daripada Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) berkata, gas ialah tenaga paling sukar untuk diramalkan, sama ada sumbernya akan bertambah atau berkurang.

“Ia juga sumber tenaga versatil dan fleksibel serta menyumbang kepada penyahkarbonan dunia sekiranya menggantikan arang batu,” katanya.

Terdahulu, Agenda Hijau seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menjadi petanda positif bagi industri tenaga negara yang bergerak seiring dengan peralihan global ke arah amalan bersih dan lestari.