PUTRAJAYA: Program Government-linked Enterprises Activation and Reform Programme (GEAR-uP) diwujudkan bagi memastikan modal domestik terus berkembang dan menjana nilai jangka panjang kepada negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, nilai sebenar pelaburan tidak hanya diukur melalui kemasukan modal ke dalam negara, sebaliknya berdasarkan impak yang ditinggalkan termasuk pembangunan keupayaan, pengukuhan syarikat dan penciptaan peluang pekerjaan.
Menurutnya, sejak dilancarkan pada 2024, GEAR-uP memberi tumpuan kepada pelaksanaan agenda yang menggerakkan modal tempatan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“GEAR-uP memastikan modal Malaysia bukan sekadar beredar dalam ekonomi, tetapi terus berkembang dan mencipta nilai berkekalan untuk negara.
“Enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bersama 37 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan melaburkan semula simpanan rakyat bagi memacu pembangunan negara. Peranan ini bukan untuk menggantikan sektor swasta, tetapi merangsang penyertaannya,” katanya dalam sidang media Laporan Tahunan GEAR-uP 2026 di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, pelbagai reformasi termasuk pengukuhan disiplin fiskal, rasionalisasi subsidi dan penetapan hala tuju industri yang lebih jelas telah mewujudkan asas ekonomi yang lebih kukuh untuk Malaysia berdepan ketidaktentuan global.
Beliau berkata, program itu turut memberi penekanan kepada pembangunan ekosistem pembiayaan dengan menyokong pengurus dana dan usahawan berpotensi, selain menyediakan laluan pertumbuhan syarikat daripada peringkat awal sehingga tersenarai di Bursa Malaysia.
“Kami tidak memilih pemenang, sebaliknya membina persekitaran yang membolehkan syarikat Malaysia berkembang dan berjaya,” katanya.
Menurut beliau, jumlah modal yang diperuntukkan dan disalurkan menerusi GEAR-uP meningkat hampir tiga kali ganda pada 2025 berbanding tahun sebelumnya, manakala portfolio syarikat mencatat pulangan keseluruhan kepada pemegang saham sebanyak lapan peratus.
Katanya, kejayaan program itu bukan sekadar dinilai berdasarkan jumlah pelaburan yang disalurkan, tetapi juga melalui manfaat yang dirasai rakyat seperti penciptaan pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan dan peluasan peluang ekonomi.
“Ukuran kejayaan turut merangkumi aspek seperti gaji kehidupan wajar, penempatan graduan, pertumbuhan syarikat Bumiputera serta pembangunan rantaian bekalan yang berakar di Malaysia.
“Pada akhirnya, kejayaan ekonomi Malaysia bukan diukur berdasarkan jumlah pelaburan yang dibawa masuk, tetapi nilai yang berjaya diwujudkan dan diwariskan untuk generasi akan datang,” katanya lagi.