Generasi keempat Toyota Vios dilancar, harga bermula RM89,600

Hafizi Rosli
Mac 20, 2023 13:47 MYT
Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K (dua dari kanan) ketika melancarkan generasi keempat Toyota Vios Serba Baharu di ibu negara pada Isnin. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor melancarkan generasi keempat Toyota Vios serba baharu yang ditawarkan pada harga bermula RM89,600.
Model sedan subkompak ini ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 G (AT) dan 1.5 E (AT) dengan lima pilihan warna.
Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K, Toyota menggabungkan teknologi automotif termaju dengan spesifikasi yang dinaik taraf.
"Enjin 1.5-liter DOHC Dual VVT-i dipertingkatkan untuk menawarkan prestasi yang lebih kukuh.
"Manakala transmisi 7-kelajuan CVT dengan Sequential Shiftmatic memberikan pecutan lebih tangkas, selain meningkatkan lagi tahap kecekapan bahan api," katanya ketika melancarkan Toyota Vios Serba Baharu generasi keempat di Kuala Lumpur.
Jelasnya, Toyota Safety Sense (TSS) menawarkan ciri keselamatan yang lebih baik dengan memberi amaran kepada pemandu mengenai bahaya dan bertindak balas secara autonomi bagi mencegah dan mengelakkan pelanggaran,.
Pemandu juga jelasnya akan dapat menikmati paparan gred tinggi dan keselesaan yang lebih baik dengan tempat duduk hadapan direka bentuk semula untuk posisi pemanduan selesa serta sokongan lebih baik.
"Fungsi baharu seperti Paddle Shifters dan Electronic Parking Brake menambahkan lagi kemudahan kepada semua pemandu.
"Ruangan enjin juga direka semula bagi mengurangkan titik putus bentuk, seterusnya dapat mengurangkan lagi beratnya," jelasnya.
Toyota Vios yang dipasang di kilang UMW Motor di Bukit Raja, Klang ini menerima lebih 5,000 tempahan sejak dibuka pada 24 Februari 2023.
Harga bagi dua varian yang ditawarkan iaitu 1.5E AT dan 1.5G AT yang masing-masing dijual pada harga RM89,600 dan RM95,500 atas jalan tanpa insurans.
#Toyota #Vios #Generasi Keempat #UMW Toyota Motor