KUALA LUMPUR: GIIB Holdings Bhd memaklumkan bahawa ia tidak mengetahui sebarang khabar angin atau laporan khusus mengenai perniagaan atau hal ehwal kumpulan itu yang mungkin menyebabkan kenaikan mendadak harga saham syarikat dan peningkatan jumlah dagangan baru-baru ini.
Kenyataan itu adalah sebagai respons kepada pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia pada Khamis susulan lonjakan saham pengeluar sebatian getah itu baru-baru ini.
“Tiada perkembangan korporat berkaitan perniagaan dan hal ehwal kumpulan kecuali potensi pelaburan dalam perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan didedahkan dalam jawapan kepada pertanyaan UMA bertarikh 4 Mei, 2026,” menurut syarikat itu dalam pemfailan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Sebulan lepas, syarikat itu menerima pertanyaan UMA yang sama dan memaklumkan bahawa ia sedang menilai potensi pelaburan dalam perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan.
Menurut GIIB, butiran dan terma potensi pelaburan berkaitan penjagaan kesihatan berkenaan masih belum dimuktamadkan, syarikat itu akan membuat pengumuman jika terdapat sebarang perkembangan penting mengenai perkara tersebut.
Pada waktu rehat tengah hari, saham GIIB susut setengah sen kepada 46.5 sen daripada 47 sen pada penutupan semalam dengan 30.40 juta unit diniagakan.
Walaupun terdapat penurunan, saham itu meningkat 17.72 peratus dalam tempoh lima hari dagangan yang lalu, mencatatkan keuntungan setakat tahun ini sebanyak 481.25 peratus.
-- BERNAMA