GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
BISNES

Glide Technology sasar tersenarai di Bursa Malaysia menjelang 2027

Naz Raseed 02/10/2025 | 23:30 MYT
Ewon Benedick (kanan) disambut oleh Muhazil (kiri) sebaik tiba pada majlis pelancaran Palm Oil-Based Insulating Oil di Shah Alam, Selangor, pada Khamis. - Gambar Instagram Ewon Benedick
Shah Alam: Glide Technology Sdn. Bhd mensasarkan untuk tersenarai di Bursa Malaysia menjelang tahun 2027.


Ringkasan AI
  • Hasilkan minyak penebat sawit pertama bersama MPOB Lancar makmal R&D baharu dengan sokongan SME Bank Komited sokong PMKS & rancang penyenaraian 2027


Presiden Glide, Datuk Muhazil Muhamad berkata, sasaran itu hadir selepas kejayaan kerjasama strategik bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melalui penghasilan MPOB-GLIDE Palm Oil-Based Insulating Oil iaitu minyak penebat 100 peratus berasaskan kelapa sawit pertama yang dihasilkan di Malaysia.

“Kami amat berharap, satu hari nanti Glide dapat berada di Bursa Saham Malaysia. Sebelum ini kami sebagai vendor kepada anchor, mungkin satu hari nanti kami akan jadi anchor kepada syarikat-syarikat bumiputera yang lain,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran produk berkenaan yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, di sini, pada Khamis.

Beliau menambah, visi tersebut bukan hanya sekadar membina kekuatan Glide semata-mata, tetapi juga untuk membuka lebih banyak ruang kerjasama dan peluang kepada syarikat lain.

“Insya-Allah dengan izinNya, kami menyasarkan tahun 2027 untuk capai sasaran ini," jelas Muhazil.

Selain kejayaan itu, Glide turut melancarkan fasiliti makmal penyelidikan baharu yang dilengkapi peralatan ujian terkini hasil sokongan SME Bank.

Langkah ini diyakini mampu meningkatkan kapasiti penyelidikan dan pembangunan (R&D) syarikat.

Menurut Muhazil, pencapaian Glide tidak akan terhenti setakat ini, sebaliknya, syarikat itu komited untuk memperkukuh kedudukannya di pasaran dengan menyasarkan penyenaraian di Bursa Malaysia.

Beliau menegaskan, matlamat tersebut bukan sekadar untuk mengangkat nama Glide seiring syarikat GLC lain, tetapi juga sebagai usaha membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mencapai kejayaan seperti yang dikecapi Glide Technology hari ini.




#Bursa Malaysia #Ewon Benedick #Glide Technology Sdn Bhd #PMKS #MPOB #Petronas