BISNES

GMT ubah landskap cukai global, Malaysia perlu fokus kecekapan pentadbiran - Penganalisis

Faida Rahim 31/12/2025 | 03:20 MYT
Mohd Fairuz berkata, cabaran utama bukan sekadar pelaksanaan cukai, tetapi melibatkan kecekapan pentadbiran dan kepastian dasar. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan cukai minimum global (GMT) menandakan peralihan kepada standard cukai global yang bertujuan mengurangkan kelebihan cukai sebagai daya tarikan pelabur, namun Malaysia perlu memberi perhatian kepada aspek pentadbiran dan koordinasi dasar.

Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, Mohd Fairuz A Razak berkata, cabaran utama bukan sekadar pelaksanaan cukai, tetapi melibatkan kecekapan pentadbiran, kepastian dasar, kualiti sistem serta kesediaan data dan kepakaran teknikal.

“Jika koordinasi antara agensi tidak selari, GMT boleh menjadi beban pentadbiran senyap kepada kerajaan. Walaupun hasil meningkat, keyakinan pelaburan boleh terjejas,” katanya dalam program Niaga AWANI.

Beliau menegaskan, isu utama adalah kesediaan sistem dan komunikasi dasar yang jelas bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap pelaksanaan cukai baharu.

Mengulas mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula, Mohd Fairuz berkata, sistem itu secara teknikal lebih telus dan efisien berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST), malah peniaga dilihat cenderung menyokong pelaksanaannya semula.

“Masalah GST bukan pada sistem, tetapi persepsi awam yang mengaitkannya dengan kenaikan harga. Rakyat mahukan keyakinan terhadap mekanisme seperti proses bayaran balik (refund) yang sebelum ini menimbulkan persoalan,” jelasnya.

Menurut beliau, Malaysia tidak boleh terlalu bergantung kepada cukai langsung dan perlu mempertimbangkan cukai kepenggunaan seperti GST dalam jangka panjang, dengan syarat komunikasi kerajaan lebih telus mengenai kutipan dan perbelanjaan.

“GST hanya relevan semula apabila sistem pentadbiran stabil dan komunikasi kerajaan jujur. Rakyat mahu tahu berapa banyak kutipan dan bagaimana ia digunakan,” katanya.




#pelaburan #GST #cukai minimum global GMT #Dr Mohd Fairuz A Razak