[TERKINI] Mohd Khalid Dilantik Ketua Polis Negara ke-15 – Ikuti Laporan Penuh di Sini
BUSINESS

Great Eastern Takaful lancar i-Great Chinta, pelan hibah legasi bermula RM800,000

Amzar Alif 04/05/2025 | 08:15 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif GETB, Shahrul Azlan Shahriman, diiringi Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Al-Amin, Tuan Syed Abdull Aziz Syed Kechik ketika gimik pelancaran pelan perlindungan terbaharu, i-Great Chinta di sini hari ini. - Gambar GETB
PETALING JAYA: Great Eastern Takaful Berhad (GETB) hari ini melancarkan pelan perlindungan terbaharunya, i-Great Chinta, yang menawarkan perlindungan hibah bernilai tinggi, direka khusus untuk membantu rakyat Malaysia merancang legasi kewangan buat insan tersayang.
Ditawarkan dengan jumlah perlindungan asas minimum RM800,000, pelan ini turut menyediakan manfaat tambahan termasuk bayaran segera RM5,000 kepada waris dalam kes kematian, serta perlindungan semasa menunaikan ibadah haji atau umrah bukan akibat kemalangan.
Ketua Pegawai Eksekutif GETB, Shahrul Azlan Shahriman, berkata pelan ini membawa erti yang lebih besar daripada sekadar perlindungan takaful.
“i-Great Chinta adalah daripada cinta kepada legasi daripada ibu kepada anak, suami kepada isteri, seseorang kepada keluarga. Bila sesuatu terjadi, kita tinggalkan bukan sahaja kasih sayang, tetapi perlindungan yang sebenar kepada mereka yang paling kita sayang,” katanya.
Beliau menegaskan pentingnya untuk masyarakat Malaysia mengambil langkah proaktif dalam perancangan kewangan keluarga, tanpa menunggu waktu yang ‘sesuai’.
“Kalau nak buat, buat sekarang. Jangan tunggu. Ambil pelan ini kerana cinta kepada keluarga. Saya nak semua keluarga di Malaysia tahu pasal hibah dan tahu tentang i-Great Chinta,” tegasnya.
Menurut Ketua Pemasaran GETB, Rashida Mior Ahmad Darwish, pelan ini direka agar mampu milik, terutamanya jika disertai ketika usia masih muda.
“Walaupun perlindungan sehingga RM1 juta, caruman bulanannya sangat berpatutan jika dimulakan awal. Kami nak pastikan rakyat Malaysia mampu merancang legasi tanpa beban,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelan ini menyasarkan segmen mass affluent dan M40 ke atas, yang sudah memiliki perlindungan asas seperti kad perubatan dan kini ingin melangkah ke tahap seterusnya dalam perancangan kewangan keluarga.
“Ini pelan untuk mereka yang mahu tinggalkan sesuatu yang bermakna bukan sahaja kepada keluarga, malah kepada rakan kongsi perniagaan, jika sesuatu berlaku kepada mereka,” jelas Rashida.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pengedaran GETB, Borhanudin Samsudin, berkata pelan ini lahir daripada pemerhatian terhadap trend tuntutan semasa yang menunjukkan jumlah perlindungan masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Data menunjukkan purata tuntutan sekitar RM100,000 hingga RM150,000. Kita perlu ubah ini. Perlindungan sepatutnya menjadi keutamaan, bukan pilihan terakhir,” katanya.
“i-Great Chinta direka untuk beri perlindungan menyeluruh dengan caruman yang mampu milik. Impian kami setiap keluarga di Malaysia memiliki perlindungan sekurang-kurangnya RM1 juta.”
Dalam usaha membawa pendekatan baharu kepada kempen kesedaran hibah, GETB turut memperkenalkan teknologi Hypergram di Sunway Pyramid yang menampilkan visual 3D dinamik bagi menarik perhatian orang ramai.
“Hypergram ini sesuatu yang pertama buat kami. Ia cara moden yang menarik untuk bawa mesej perlindungan terus kepada masyarakat. Dan i-Great Chinta adalah pelan yang sesuai dilancarkan dalam cara yang berbeza seperti ini,” ujar Shahrul.
Bersempena pelancaran ini, GETB juga memperkenalkan kempen istimewa dari 1 Mei hingga 1 Julai 2025, yang membolehkan pelanggan menyertai pelan ini dengan jumlah perlindungan asas serendah RM500,000.
Dengan pelan seperti i-Great Chinta dan i-Great Majestik, GETB kekal komited menawarkan solusi kewangan yang inovatif, patuh syariah dan sejajar dengan gaya hidup serta keperluan kewangan rakyat Malaysia hari ini.
Untuk maklumat lanjut, layari www.greateasterntakaful.com atau hubungi perunding takaful berdekatan.
#Great Eastern Takaful Berhad GETB #hibah #Shahrul Azlan Shahriman #i-Great Chinta #pelan perlindungan #pelan takaful