Budaya lakukan kerja saat akhir di kalangan rakyat Malaysia perlu dihakis dan tidak dijadikan alasan untuk mendaftarkan syarikat masing-masing bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah (Perkastaman/GST) Datuk Zainul Abidin Taib berkata budaya tidak sihat itu antara punca kegagalan dalam mencapai sasaran pendaftaran syarikat.

"Walaupun mereka mempunyai masa yang mencukupi sehingga Disember, namun kenapa perlu tunggu sehingga penghujung waktu.

"Budaya ini susah untuk diubah dan akan mengambil masa," katanya kepada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pendaftaran GST Berkelompok Sektor Kontraktor Pembinaan di sini hari ini.

Majlis tiga hari itu merupakan kerjasama antara Kastam dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), melibatkan lebih 7,000 syarikat kontraktor yang berdaftar dengan CIDB dipelawa untuk mendaftar GST.

Sehingga 21 September, sejumlah 44,355 perniagaan telah didaftarkan di seluruh negara untuk GST.

Sasaran pendaftaran GST sehingga akhir Disember 2014 ialah sebanyak 123,000 syarikat.

Zainul yakin jumlah pendaftaran GST akan melebihi 100,000 syarikat pada penghujung 2014, didorong oleh lebih banyak program galakan oleh pihak Kastam yang lebih cenderung kepada sesuatu sektor.

Selain itu, beliau berkata khabar angin yang menguar-uarkan bahawa GST akan ditangguhkan dan tidak akan dilaksanakan, perlu dihentikan segera kerana ini menimbulkan keraguan di kalangan pendaftar.