KUALA LUMPUR: KPJ Healthcare Bhd. (KPJ) terus komited terhadap agenda transformasi teknologi dan penawaran perkhidmatan perubatan secara holistik dalam usaha memperkasa momentum prestasi kumpulan selain mentakrifkan semula penjagaan kesihatan di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Komersialnya, Dr. Nik Fawaz Nik Abdul Aziz berkata, transformasi digital memberi cabaran besar terhadap model penjagaan kesihatan tradisional, namun ia menyediakan manfaat bagi akses penyelesaian perubatan terbaik menerusi inovasi teknologi.

“Kita perlu mengambil kebaikan daripadanya… misalnya melihatkan kepada penggunaan telemedicine sebelum ini dan bagaimana hospital meningkatkan perkhidmatan dan penjagaan kesihatan kepada pesakit melalui adaptasi kecerdasan buatan (AI), internet pelbagai benda (IoT), robotik, automasi serta pelbagai lagi usaha.

“KPJ turut menjalinkan kerjasama erat dengan rakan penyedia kesihatan lain bagi memperkukuh kedudukan kumpulan, malah baru-baru ini juga kita menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Samsung, Fujifilm yang mana sinergi ini mampu memberi manfaat khusus kepada para pesakit,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui di Menara KPJ di sini pada Isnin.

Adaptasi teknologi semasa, tawar khidmat perubatan holistik

KPJ yang merawat lebih tiga juta pesakit setiap tahun itu kini mengendalikan 29 buah hospital di seluruh Malaysia serta satu hospital di Indonesia selain masing-masing satu di Bangladesh dan Thailand.

Menurut Nik Fawaz, sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, pihaknya mempunyai banyak data yang boleh digunakan untuk meningkatkan tahap kesihatan lebih baik menerusi kerjasama Universiti KPJ Healthcare (KPJU) dalam membuat kajian melaluinya.

“Penambahbaikan boleh dijalankan daripada dapatan kajian data raya yang tentunya memberi manfaat kepada para pesakit. Sudah tentu kita bercakap tentang perkhidmatan berpusatkan pesakit (patient-centric) kerana itu pastinya menjadi tumpuan penuh KPJ.

“Selain itu, kita turut melihat kepada fasiliti klinikal Pusat Jagaan Ambulatori (ACC) KPJ yang membolehkan kita melakukan kes pembedahan harian… ia menawarkan lebih aksesibiliti, kos rawatan berpatutan berbanding di hospital. Sekiranya ada pesakit yang ingin membuat endoskopi atau melibatkan pembedahan ringkas juga boleh dilakukan di sini,” ujarnya.

ACC KPJ juga menyediakan perkhidmatan rawatan mata seperti pembedahan katarak, gigi, telinga, hidung dan leher (ENT), pengimejan seperti X-Ray, dan ultrasound, yang boleh dilakukan tanpa memasuki wad.

Merealisasikan strategi kumpulan sambil meningkatkan komitmen untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat Malaysia, KPJ terus menambah baik pengalaman pesakit di hospital dan penjagaan khusus melalui pelancaran Hospital Pakar Damansara 2 (DSH2) pada Mei lalu.

Hospital terbaharu itu menggabungkan precision medicine (perubatan jitu), diagnostik berlandaskan teknologi dan penyampaian penjagaan pesakit khusus individu. Penubuhannya turut mendapat pengiktirafan sebagai Hospital Baharu Terbaik di Asia Pasifik daripada Anugerah Global Health Asia-Pacific Healthcare and Hospital 2023.

KPJ juga mengendalikan pusat jagaan warga emas dan dibantu di Kuala Lumpur; Kuantan, Pahang dan Sibu, Sabah serta Brisbane, Australia yang menawarkan penjagaan jangka pendek dan panjang. Perkhidmatan itu terdiri daripada penjagaan orang tua secara langsung, perkhidmatan pemulihan selain penjagaan selepas bersalin.

Terdahulu, keuntungan bersih KPJ Healthcare Bhd. melonjak kepada RM51.9 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2023 berbanding RM22.14 juta direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.