BISNES
Hanya enam peratus syarikat APAC berisiko tinggi terhadap tarif AS - Moody's Ratings

Jumlah itu merupakan yang terendah di peringkat global, mencerminkan daya tahan rantau berkenaan dalam menghadapi pergolakan perdagangan dan pasaran, menurut Moody's Investors Service (Moody's Ratings). - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Hanya enam peratus daripada syarikat yang diberi penarafan di Asia Pasifik (APAC) mempunyai pendedahan keseluruhan yang tinggi terhadap risiko berkaitan tarif Amerika Syarikat (AS).
Jumlah itu merupakan yang terendah di peringkat global, mencerminkan daya tahan rantau berkenaan dalam menghadapi pergolakan perdagangan dan pasaran, menurut Moody's Investors Service (Moody's Ratings).
Dalam laporan sektoral yang dikeluarkan hari ini, Moody's Ratings berkata majoriti syarikat bukan kewangan di APAC sebahagian besarnya terlindung daripada tiga saluran penularan risiko -- perdagangan, makroekonomi dan kewangan -- yang muncul berikutan perkembangan tarif global baru-baru ini.
"Kebanyakan syarikat ini terdedah kepada ketidaktentuan pasaran kewangan, dengan kedudukan mudah tunai yang lemah dan tempoh matang hutang yang besar dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.Agensi penarafan kredit itu berkata syarikat-syarikat di Asia Pasifik mendapat manfaat daripada operasi domestik yang besar dan perniagaan serta rantaian bekalan yang pelbagai di peringkat global.
"Majoriti syarikat yang diberi penarafan (86 peratus) mempunyai pendedahan perdagangan yang rendah dengan AS, iaitu kurang daripada 10 peratus hasil dari AS yang tertakluk kepada tarif atau kurang daripada 10 peratus jumlah kos yang berpunca daripada import dari AS yang tertakluk kepada tarif," katanya.
Laporan itu yang menumpukan kepada penilaian risiko bagi kira-kira 450 syarikat yang diberi penarafan di Asia Pasifik, menyatakan hanya sebilangan kecil syarikat (satu peratus), terutamanya dalam industri perkapalan dan produk pengguna, mempunyai pendedahan yang tinggi terhadap risiko berkaitan perdagangan dengan AS.
Dari segi perspektif makroekonomi, Moody's Ratings berkata pendedahan adalah tinggi bagi sektor-sektor automotif, pengangkutan (perkapalan dan syarikat penerbangan) dan tenaga.
"Tarif berpotensi menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan perbelanjaan pengguna serta memberi tekanan kepada rantaian bekalan global yang saling berkaitan.
"Permintaan pengguna yang lemah dan risiko geopolitik yang tinggi akan mendorong ketidaktentuan dalam harga komoditi, sekali gus menjejaskan pendapatan pengeluar komoditi," katanya.
Bagaimanapun, syarikat-syarikat APAC yang mendapat penarafan dalam sektor-sektor pendedahan tinggi itu berada dalam kedudukan yang lebih kukuh berbanding syarikat di rantau lain, disebabkan oleh kehadiran domestik yang besar atau operasi yang pelbagai di peringkat global, tambahnya.
Sementara itu, Moody's Ratings berkata risiko kewangan bukanlah khusus kepada sesuatu industri, sebaliknya terikat kepada kualiti kredit.
"Risiko kewangan adalah tinggi bagi 25 peratus syarikat bukan kewangan yang hasil tinggi di APAC.
"Dua pertiga daripada syarikat-syarikat ini diberi penarafan B3 dan ke bawah serta mempunyai kedudukan mudah tunai yang lemah, dengan sumber tunai - yang terdiri daripada tunai sedia ada dan aliran tunai operasi yang dijangka - tidak mencukupi berbanding unjuran aliran keluar tunai termasuk perbelanjaan modal, agihan kepada pemegang saham dan hutang yang akan matang," katanya.
Memandangkan sumber dalaman yang tidak mencukupi, syarikat-syarikat penarafan lebih rendah bergantung kepada sumber pembiayaan luaran, yang ketersediaannya boleh menjadi tidak menentu terutamanya semasa tempoh tekanan pasaran.
"Walaupun berdepan risiko-risiko ini, Moody's Ratings mengunjurkan (pada Februari) kadar lalai korporat hasil tinggi dalam tempoh 12 bulan di Asia Pasifik akan kekal stabil pada 4.1 peratus menjelang akhir 2025 -- tidak berubah dari akhir 2024 dan lebih rendah daripada purata 10 tahun sebanyak 5.7 peratus.
"Daya tahan keseluruhan portfolio Asia Pasifik turut disokong oleh kehadiran penerbit bon berkaitan kerajaan dan syarikat bersekutu dengan kumpulan perniagaan besar yang kukuh dari segi kewangan, yang kebanyakannya mempunyai hubungan jangka panjang dengan bank-bank tempatan dan asing serta rekod pencapaian yang kukuh dalam mendapatkan akses ke pasaran modal domestik," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami