BISNES
Harga minyak AS$50 mampu kekalkan aliran pelaburan sektor O&G - CEO Petronas
Tengku Muhammad Taufik turut menegaskan bahawa kekurangan pelaburan dalam infrastruktur tenaga – jika dibiarkan – boleh mendatangkan kesan besar terhadap kestabilan ekonomi global. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Industri minyak global memerlukan harga minyak kekal sekitar AS$50 setong bagi memastikan pelaburan tenaga berterusan dan mengelakkan kejutan bekalan pada masa depan, kata Petroliam Nasional Bhd (Petronas).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Tan Sri Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, paras AS$50 masih menjadi aras pulang modal utama industri – satu ‘titik manis’ yang mampu mengekalkan aliran pelaburan sambil menyeimbangkan aspek kemampuan dan keselamatan bekalan.
“Ketika kita berdepan cabaran sebelum ini, seruan untuk berdaya tahan pada harga AS$50 telah dilaungkan,” katanya dalam wawancara bersama CNBC’s Squawk Box Asia yang disiarkan semalam.
“Memandangkan harga pernah menjunam ke paras rendah AS$60 sebelum konflik semasa, saya rasa seruan itu masih relevan. Pulang modal pada paras AS$50 adalah kunci untuk kelangsungan industri. Itulah titik manis – satu keseimbangan adil yang mengekalkan pelaburan tenaga.”
Tengku Muhammad Taufik turut menegaskan bahawa kekurangan pelaburan dalam infrastruktur tenaga – jika dibiarkan – boleh mendatangkan kesan besar terhadap kestabilan ekonomi global.
Beliau merujuk kepada impak pasca pandemik COVID-19 dan fasa awal peralihan tenaga sebagai pengajaran, di mana pelaburan yang tertangguh menyebabkan turun naik harga dan mendedahkan kelemahan dalam sistem bekalan global.
“Kita tidak mampu mengulangi tempoh kekurangan pelaburan. Ia akan membawa kita ke kitaran turun naik yang membahayakan pertumbuhan ekonomi dunia, kemakmuran ekonomi, dan seterusnya mengancam matlamat kelestarian.”
Mengulas krisis tenaga 2022 susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, beliau menyifatkannya sebagai ‘wake-up call’ tentang akibat ketidakseimbangan bekalan dan keperluan kepada perancangan jangka panjang.
“Dorongan ke arah sistem bebas karbon menjadi lebih kuat ketika itu. Tetapi kita terpaksa berdepan dengan realiti yang sukar,” ujarnya.
“Jika kita tidak bersedia untuk krisis dan tiada bekalan mencukupi, kita mungkin mencetuskan satu lagi krisis tenaga berskala penuh.”
Walaupun mengakui peralihan tenaga global adalah satu keperluan, Tengku Muhammad Taufik menegaskan bahawa pendekatan pragmatik amat penting – khususnya di Asia yang masih bergantung kepada bahan api fosil.
“Antara 70 hingga 80 peratus campuran tenaga Asia masih bergantung kepada bahan api fosil. Kita tidak boleh beralih sepenuhnya dalam sekelip mata,” katanya. “Namun, bolehkah kita jadikan campuran itu lebih rendah karbon? Sudah tentu boleh.”
Kenyataan beliau hadir ketika Malaysia dan negara-negara ASEAN lain sedang bergelut dengan lonjakan permintaan tenaga – didorong oleh perindustrian pesat, pertambahan populasi dan kebangkitan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
Beliau menyatakan bahawa permintaan elektrik Malaysia kini berkembang lebih 6 peratus setahun – satu trend yang menunjukkan keperluan mendesak kepada penyelesaian tenaga yang boleh dipercayai dan berskala besar.
Bagi memenuhi keperluan ini, beliau menekankan keperluan mengekalkan pelaburan dalam aset hidrokarbon tradisional, sambil mempercepatkan pelaburan dalam teknologi rendah karbon dan penyelesaian tenaga bersih.
Perkongsian strategik, katanya, akan menjadi pemacu utama dalam melaksanakan strategi dua landasan ini.
“Kita perlu bekalkan tenaga dan kita perlu lakukannya secara bersih. Isu kemampuan dan akses masih menjadi cabaran besar di rantau ini,” ujarnya. - DagangNews.com
https://www.dagangnews.com/article/terkini/harga-minyak-as50-mampu-kekalkan-aliran-pelaburan-sektor-og-kata-ceo-petronas-53316