MINYAK mentah dari Asia Barat kini menjadi yang termahal di dunia, selepas penanda aras utama di rantau itu melonjak ke paras tertinggi sepanjang sejarah berikutan gangguan bekalan dan ketegangan berterusan di rantau Teluk, menurut data terbaharu yang dikumpulkan oleh agensi berita Reuters.
Penanda aras Cash Dubai dinilai pada harga rekod AS$153.25 setong pada Isnin bagi penghantaran kargo bulan Mei, melepasi paras tertinggi sepanjang zaman penanda aras global Brent iaitu AS$147.50 setong pada 2008.
Advertisement
Sementara itu, niaga hadapan minyak Oman juga melonjak ke paras AS$147.79 setong, menandakan kekuatan luar biasa harga minyak Asia Barat dalam tempoh perang ini.
Kenaikan mendadak ini berlaku ketika pasaran global terus bergelut dengan ketegangan geopolitik, serangan terhadap infrastruktur minyak dan penutupan laluan pelayaran di sekitar Teluk, khususnya berhampiran Selat Hormuz, salah satu laluan strategik minyak paling kritikal dunia.
Pada masa sama, Reuters melaporkan bahawa eksport minyak mentah Asia Barat ke Asia menjunam kepada 11.665 juta tong sehari bulan ini.
Angka itu jauh lebih rendah berbanding hampir 19 juta tong sehari pada Februari, sebelum perang meletus, sekali gus mewakili penurunan kira‑kira 32 peratus berbanding paras pada Mac 2025.
Penurunan mendadak ini mencerminkan kombinasi faktor termasuk risiko penghantaran yang lebih tinggi, premium insurans meningkat, penutupan terhad ruang udara dan perairan beberapa negara Teluk, serta gangguan keselamatan berterusan akibat serangan peluru berpandu dan dron.
Lonjakan harga minyak Asia Barat ini dijangka memberi kesan besar terhadap pasaran global, memandangkan sebahagian besar import minyak Asia, termasuk China, Jepun, Korea Selatan dan India, datang dari rantau berkenaan.
Penganalisis menjangkakan tekanan harga akan berlanjutan selagi konflik serantau tidak reda dan laluan penting seperti Selat Hormuz terus berdepan risiko serangan.