Harga minyak mentah pacu ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

Bernama
Julai 6, 2021 01:59 MYT
Secara keseluruhannya, ringgit dijangkakan mengukuh sedikit dalam jajaran RM4.15 hingga RM4.16 hari ini.
KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Selasa, didorong oleh kenaikan harga minyak mentah.
Pada 9 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.1555/1590 berbanding dolar AS daripada 4.1560/1575 pada akhir dagangan Isnin.
Setakat pagi ini, minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, naik 0.09 peratus pada US$77.23 setong.
Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata mesyuarat Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) pada Isnin menyaksikan perbalahan antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan Arab Saudi, sekali gus mencetuskan kemungkinan peningkatan pengeluaran kira-kira 2.0 juta tong minyak sehari mulai Ogos dijangka tidak berlaku.
"Ini boleh menyebabkan bekalan minyak di pasaran terus terhad dan sebarang kenaikan harga minyak hanya memberi impak positif ke atas prestasi ringgit," katanya kepada Bernama.
Namun, jelas Adam, sebarang tindakan mesyuarat OPEC+ untuk meleraikan pertikaian UAE-Arab Saudi dan meneruskan rancangan pengeluaran minyak selain perbincangan mengenai jumlah pengeluaran baharu UAE, boleh membataskan kenaikan harga minyak Brent selepas ini.
"Secara keseluruhannya, kami menjangkakan ringgit akan mengukuh sedikit dalam jajaran RM4.15 hingga RM4.16 hari ini," katanya.
Dalam pada itu, ringgit dibuka lebih mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Ringgit naik berbanding euro kepada 4.9288/9330 daripada 4.9357/9374 pada akhir dagangan Isnin.
Unit tempatan itu turut meningkat berbanding yen kepada 3.7481/7516 daripada 3.7495/7512 dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0882/0910 daripada 3.0900/0915 semalam.
Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.7587/7635 daripada 5.7577/7598 sebelum ini.
-- BERNAMA
#ekonomi #minyak #harga minyak #Arab Saudi #dolar AS #Malaysia #ringgit #OPEC #UAE #Singapura #Amerika Syarikat #Britain #bank #Bank Islam #Adam Mohamed Rahim #mesyuarat OPEC