BISNES
Harga minyak naik susulan ancaman Trump kenakan tarif ke atas India kerana beli minyak Rusia

Harga minyak meningkat pada Rabu berikutan kebimbangan terhadap bekalan, susulan ancaman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengenakan tarif ke atas India kerana membeli minyak dari Rusia. - Gambar fail/REUTERS
ISTANBUL: Harga minyak meningkat pada Rabu berikutan kebimbangan terhadap bekalan, susulan ancaman Presiden Amerika Syarikat Donald Trump untuk mengenakan tarif ke atas India kerana membeli minyak dari Rusia, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Penanda aras antarabangsa Brent diniagakan pada US$67.97 setong pada 10.44 pagi waktu tempatan (0744GMT), meningkat 0.74 peratus berbanding penutupan sesi sebelumnya pada AS$67.47.
Penanda aras Amerika Syarikat West Texas Intermediate (WTI) pula naik 0.72 peratus kepada AS$65.04 setong, berbanding US$64.57 dalam sesi sebelumnya.
Menurut laporan itu, utusan khas Trump, Steve Witkoff tiba di Moscow untuk membincangkan perang Rusia-Ukraine yang berlarutan. Saluran RT Rusia memetik jurucakap Kremlin Dmitry Peskov sebagai berkata pertemuan secara bersemuka antara Witkoff dan Presiden Rusia Vladimir Putin masih berkemungkinan diadakan.Lawatan Witkoff dilakukan ketika Trump mengancam untuk mengenakan sekatan baharu yang menyeluruh terhadap Rusia, termasuk tarif 100 peratus serta langkah sekunder terhadap rakan perdagangannya, sekiranya tiada kemajuan ketara dicapai dalam usaha menyelesaikan konflik itu.
Lawatan itu juga dibuat menjelang tarikh akhir pada Jumaat yang ditetapkan oleh Trump untuk Rusia bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata dengan Ukraine.
Terdahulu, Trump berkata beliau akan membuat keputusan mengenai sekatan terhadap Rusia berdasarkan hasil pertemuan Witkoff di Moscow.
Pada Ahad, Trump menulis di media sosial bahawa beliau akan menaikkan tarif terhadap India secara besar-besaran, sambil menuduh New Delhi mendapat keuntungan melalui penjualan semula minyak Rusia.
Tanpa memperincikan skop atau garis masa kenaikan tarif berkenaan, Presiden AS itu berkata: "Mereka tidak peduli berapa ramai orang di Ukraine yang dibunuh oleh Jentera Perang Rusia. Disebabkan itu, saya akan menaikkan tarif yang dibayar oleh India kepada AS secara besar-besaran."
Sementara itu, data yang menunjukkan penurunan dalam inventori minyak mentah AS turut menyokong kenaikan harga minyak.
Inventori komersial minyak mentah AS berkurangan sebanyak 4.2 juta tong minggu lepas, menurut data daripada Institut Petroleum Amerika, sekali gus menandakan pemulihan permintaan dalam kalangan pengguna minyak terbesar dunia itu.
Pentadbiran Maklumat Tenaga AS dijangka mengeluarkan data rasmi inventori kemudian hari ini.
Pada Ahad, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya yang dikenali sebagai OPEC+ mengumumkan bahawa lapan negara anggota akan meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak gabungan 547,000 tong sehari pada September berbanding Ogos, sebagai sebahagian usaha untuk mendapatkan semula bahagian dalam pasaran global.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami