Harga minyak sawit dijangka kekal melebihi RM4,400 setan hingga akhir tahun - MPOC

Eksport minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 102,000 tan atau 7.7 peratus bulan ke bulan kepada 1.42 juta tan pada September, dengan kebanyakan wilayah mencatatkan kenaikan kecuali Kesatuan Eropah dan Asia Pasifik. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) menjangkakan harga minyak sawit kekal stabil melebihi RM4,400 setan menjelang akhir 2025, di tengah-tengah harga minyak mentah yang lemah dan inventori minyak sayuran yang tinggi di pasaran pengguna utama seperti China dan India.
Menurut MPOC, ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin meruncing, dan stok kacang soya global yang meningkat turut mendorong pergerakan harga.
Sementara itu, katanya, harga minyak sayuran dijangka kekal kukuh sepanjang baki tahun 2025, disokong oleh minyak kacang soya dan minyak sawit yang kukuh.
"Pengurangan bekalan minyak kacang soya yang boleh dieksport dari Argentina berkemungkinan meningkatkan harga dalam tempoh beberapa bulan akan datang, manakala spekulasi berterusan mengenai mandat B50 Indonesia akan terus menyokong minyak sawit," katanya dalam satu kenyataan.MPOC berkata minyak sawit sekali lagi akan diniagakan pada premium kepada minyak kacang soya di pasaran global, dengan harga pada pertengahan Oktober berada pada US$42 setan lebih tinggi di Eropah dan US$26 setan lebih tinggi di India, berbanding tempoh diskaun singkat antara April dan September.
Dalam pada itu, eksport minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 102,000 tan atau 7.7 peratus bulan ke bulan kepada 1.42 juta tan pada September, dengan kebanyakan wilayah mencatatkan kenaikan kecuali Kesatuan Eropah dan Asia Pasifik.
MPOC berkata peningkatan terbesar adalah dari Asia Selatan, apabila eksport ke India mencecah 312,000 tan, iaitu tertinggi dalam tempoh 11 bulan, manakala penghantaran ke Afrika Sub-Sahara, Timur Tengah, Afrika Utara, Amerika dan Asia Tengah turut meningkat pada bulan itu.
"Stok minyak sawit pada September meningkat kepada 2.36 juta tan, tertinggi dalam tempoh 22 bulan, walaupun pertumbuhan eksport mengatasi pengeluaran.
"Peningkatan ini sebahagian besarnya didorong oleh penggunaan domestik yang normal pada julat biasa 300,000 tan sebulan kepada 350,000 tan sebulan, selepas ia mencapai rekod tertinggi bulanan sebanyak 499,000 tan pada Ogos," kata MPOC.
Katanya, import juga meningkat sebanyak 20,000 tan (+33.9 peratus bulan ke bulan), sekali gus menyumbang kepada penambahan stok.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami