BISNES
Harga minyak susut ketika tarikh akhir tarif Trump semakin dekat

Harga minyak mentah global mencatatkan penurunan pada Khamis apabila para pelabur terus berhati-hati menjelang tarikh akhir 1 Ogos yang ditetapkan oleh Presiden Donald Trump. - Gambar fail Bernama
HOUSTAN: Harga minyak mentah global mencatatkan penurunan pada Khamis apabila para pelabur terus berhati-hati menjelang tarikh akhir 1 Ogos yang ditetapkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ia adalah pelaksanaan tarif baharu ke atas negara-negara yang masih belum mencapai perjanjian perdagangan dengan Washington.
Niaga hadapan minyak mentah Brent bagi penghantaran September ditutup susut 71 sen atau 0.97 peratus kepada AS$72.53 setong.
Manakala West Texas Intermediate (WTI) bagi bulan sama jatuh 74 sen atau 1.06 peratus kepada AS$69.26 setong.Pada sesi awal, harga WTI sempat merosot lebih AS$1.
Kedua-dua penanda aras itu sebelum ini merekodkan kenaikan hampir 1 peratus pada Rabu.
Menurut White House, semua negara yang belum menerima surat atau menandatangani perjanjian perdagangan dengan AS akan diberi notis menjelang penghujung hari Khamis berhubung syarat perdagangan baharu.
Sehingga kini, AS telah memeterai perjanjian dengan dua pertiga daripada 18 rakan dagang utamanya.
Trump turut mengumumkan beliau dan Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum bersetuju untuk melanjutkan perjanjian perdagangan sedia ada selama 90 hari, bagi memberi ruang rundingan diteruskan dengan harapan dapat menandatangani perjanjian baharu dalam tempoh tersebut.
“Mexico akan terus membayar tarif 25 peratus ke atas Fentanyl, 25 peratus ke atas kereta dan 50 peratus ke atas keluli, aluminium dan tembaga.
“Selain itu, Mexico turut bersetuju untuk serta-merta menamatkan semua halangan perdagangan bukan tarifnya,” kata Trump menerusi hantaran di media sosial.
Berita mengenai lanjutan rundingan tersebut telah memberi tekanan ke atas pasaran hadapan minyak, kata John Kilduff, rakan kongsi di Again Capital yang berpangkalan di New York.
“Secara keseluruhan, tarif adalah negatif terhadap permintaan minyak dalam jangka panjang dan perkembangan terkini dengan Mexico sekadar melambatkan impak yang tidak dapat dielakkan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, kadar inflasi di AS meningkat pada Jun lalu berikutan tarif telah menaikkan harga barangan import seperti perabot rumah dan produk rekreasi.
Ini menyokong pandangan bahawa tekanan harga akan terus meningkat dalam separuh kedua tahun ini dan berkemungkinan menangguhkan langkah Rizab Persekutuan (Fed) untuk menurunkan kadar faedah sekurang-kurangnya sehingga Oktober.
Kadar faedah yang lebih rendah kebiasaannya mengurangkan kos pinjaman pengguna, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan permintaan minyak.
Sementara itu, pengeluaran minyak mentah AS meningkat ke paras tertinggi baharu sebanyak 13.49 juta tong sehari pada Mei, menurut data Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA).
Jumlah itu meningkat sebanyak 24,000 tong sehari berbanding rekod terdahulu pada April.
Inventori minyak mentah AS turut melonjak sebanyak 7.7 juta tong kepada 426.7 juta tong dalam minggu berakhir 25 Julai, disebabkan oleh penurunan eksport.
Angka itu jauh berbeza daripada jangkaan penganalisis yang meramalkan penurunan sebanyak 1.3 juta tong.
Stok petrol pula menurun sebanyak 2.7 juta tong kepada 228.4 juta tong melebihi jangkaan susut hanya 600,000 tong. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami