KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menerima 1,800 aduan dan pertanyaan berkaitan penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Berdasarkan data yang dikumpul, kesemua penipuan itu dipromosikan dalam talian melalui saluran komunikasi seperti Telegram dan WhatsApp serta platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

Pengerusi SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata memantau Internet secara aktif untuk mengenal pasti aktiviti pasaran modal yang mencurigakan dan juga mengeluarkan amaran kepada pelabur melalui Senarai Makluman Pelabur SC yang dikemas kini hampir setiap hari.

"Ciri Internet yang terbuka menyukarkan SC untuk melindungi pelabur, tindakan terbaik yang boleh diambil oleh pelabur untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan dan aktiviti tidak berlesen adalah untuk melengkapkan diri dan meningkatkan pengetahuan kewangan mereka," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Data terkini daripada SC menunjukkan bahawa 'scammer' masih berleluasa, kebanyakannya menggunakan media sosial untuk menarik dan menipu pelabur dengan tawaran pakej pelaburan dan tuntutan jaminan pulangan tinggi yang tidak realistik dan tanpa risiko.

"Penemuan kaji selidik dijalankan SC mendapati rakyat Malaysia masih mempunyai tahap kesedaran dan pengetahuan yang rendah mengenai pelaburan dan produk pasaran modal.

"Pelabur tempatan mempunyai jangkaan yang tidak realistik terhadap pulangan pelaburan kerana salah tanggapan mengenai risiko dan pulangan. Celik kewangan yang rendah juga menjadikan pelabur terdedah kepada aktiviti tidak berlesen dan penipuan," kata SC.

Sementara itu, SC akan menganjurkan Pameran Pendidikan Pelabur SC dan InvestSmart(R) Fest (ISF 2022), ia akan berlangsung dari 14 hingga 16 Oktober 2022 di Dewan Pameran 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

InvestSmart(R) Fest disokong oleh Bursa Malaysia, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia, Persatuan Perancang Kewangan Malaysia dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia.

Ia diadakan sempena Bulan Celik Kewangan 2022 dan Minggu Pelabur Sedunia 2022.

ISF 2022 akan menghimpunkan lebih 40 pempamer terdiri daripada Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), Bursa Malaysia, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bank pelaburan dan penyedia produk dan perkhidmatan pasaran modal lain.

Penggiat daripada industri 'fintech' (teknologi kewangan) seperti Luno Malaysia dan Wahed Investment akan turut menyertai acara itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai ISF 2022 dan perundingan perancangan kewangan #FinPlan4U, layari www.investsmartsc.my atau akaun media sosial InvestSmart(R).

-- BERNAMA