KUALA LUMPUR: Syarikat tenaga boleh diperbaharui, Helios Photovoltaic Sdn. Bhd. (Helios), mengumumkan penyerahan prospektus bagi cadangan tawaran awam permulaan (IPO) di Frankfurt Stock Exchange, selain pelancaran projek mega Helios Solar Park, Wildlife Safari Conservation and Resort di Kelantan.
Dalam satu kenyataan, Helios memaklumkan turut melantik SMC Investmentbank AG sebagai bank penyenaraian bagi menyokong struktur dan pelaksanaan IPO berkenaan.
Advertisement
"Tawaran itu disasarkan pada Mei 2026, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, dan akan dibuka kepada pelabur di Jerman serta beberapa bidang kuasa lain yang layak.
"Dana yang diperoleh dijangka memacu strategi pertumbuhan jangka panjang Helios, khususnya dalam pembangunan dan pengembangan projek tenaga solar di Eropah dan Asia, dengan tumpuan utama di Jerman, Malaysia, Singapura dan Kemboja.
"Sebagai sebahagian daripada strategi tersebut, Helios memperkenalkan projek bersepadu pertama seumpamanya yang menggabungkan tenaga boleh diperbaharui dengan pemuliharaan alam sekitar," jelas kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, projek itu merangkumi kemudahan tenaga solar fotovoltaik berkapasiti 1,000 megawatt puncak (MWp), disokong sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti 1,600 megawatt jam (MWh).
"Pembangunan itu akan dilaksanakan di kawasan seluas kira-kira 3,000 ekar di Kelantan dengan sasaran operasi komersial antara tahun 2028 hingga 2029 dengan nilai pembangunan keseluruhan projek dianggarkan mencecah RM5.5 bilion," jelas kenyataan itu.
Dibangunkan di bawah Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS), projek itu menggunakan model platform berskala yang menggabungkan penjanaan tenaga bersih dengan peluang pelaburan.
Teras kepada pendekatan ini ialah konsep “Zero Net Energy Lots” milik Helios, yang membolehkan syarikat dan pelabur menyertai sektor tenaga boleh diperbaharui bermula serendah 1 MWp tanpa perlu membangunkan atau mengurus infrastruktur secara langsung.
Model itu menawarkan laluan fleksibel kepada syarikat untuk mencapai sasaran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), termasuk usaha penyahkarbonan melalui penggunaan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC).
Jelas kenyataan itu lagi, selain pembangunan tenaga, projek berkenaan turut merangkumi komponen pemuliharaan dan ekopelancongan yang memberi tumpuan kepada perlindungan habitat hidupan liar, pemeliharaan hutan serta pemulihan ekologi.
"Dengan populasi Harimau Malaya yang dianggarkan kurang daripada 150 ekor di habitat liar, inisiatif ini dijangka menyokong usaha pemuliharaan melalui kerjasama dengan organisasi berkaitan.
"Resort eko-pelancongan dan kemudahan berkaitan akan dijana sepenuhnya menggunakan tenaga bersih daripada taman solar tersebut, sekali gus menjadikannya model pembangunan mampan.
"Dalam masa sama, projek ini dijangka merangsang ekonomi setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan serta penglibatan komuniti Orang Asli," jelas kenyataan itu.
Helios Photovoltaic Sdn. Bhd. merupakan syarikat tenaga boleh diperbaharui dan infrastruktur yang memberi tumpuan kepada pembangunan platform tenaga bersih berskala besar serta penyelesaian pelaburan di Asia dan Eropah.