BISNES

Ho Hup mohon perintah mahkamah baharu, percepat usaha penyusunan semula hutang

Dagang News 11/12/2025 | 01:50 MYT
Ho Hup tergelincir ke status PN17 pada April lalu selepas anak syarikatnya, Bukit Jalil Development Sdn Bhd, gagal menjelaskan kemudahan pembiayaan bernilai RM112.69 juta. - Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: Syarikat dalam status Nota Amalan 17 (PN17), Ho Hup Construction Co Bhd memohon perintah mahkamah baharu bagi membolehkan kumpulan itu merangka pelan penyusunan semula hutang secara teratur.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata permohonan yang difailkan di Mahkamah Tinggi ini bertujuan mendapatkan kelulusan bagi satu kompromi atau pengaturan merangka skim pengaturan dengan para pemiutang.

Syarikat itu turut memohon perintah penangguhan terhadap sebarang tindakan undang-undang, termasuk permohonan penggulungan.

Menurut Ho Hup, sehingga mahkamah membuat keputusan atau sehingga tempoh dua bulan berakhir yang mana lebih awal tiada perintah atau resolusi boleh diluluskan untuk menggulung syarikat.

Langkah tersebut memberi ruang kepada kumpulan merangka dan mengemukakan skim penyusunan semula kepada pemiutang tanpa gangguan tindakan undang-undang.

Ho Hup menjelaskan skim berkenaan akan dihuraikan dalam satu penyataan penjelasan dan dibentangkan pada mesyuarat pemiutang yang akan dipanggil oleh mahkamah.

Skim itu perlu memperoleh sekurang-kurangnya 75% persetujuan pemiutang mengikut nilai yang hadir dan mengundi.

“Setelah diluluskan oleh majoriti 75% daripada jumlah nilai pemiutang yang hadir dan mengundi di mesyuarat berkenaan, skim tersebut akan dianggap boleh dikuatkuasakan dan mengikat semua pemiutang skim,” katanya.

Syarikat itu menambah terma skim berkemungkinan berubah bergantung kepada rundingan dengan pemiutang.

Ho Hup tergelincir ke status PN17 pada April lalu selepas anak syarikatnya, Bukit Jalil Development Sdn Bhd, gagal menjelaskan kemudahan pembiayaan bernilai RM112.69 juta.

Sebagai penjamin, Ho Hup menerima notis tuntutan daripada Insas Credit & Leasing Sdn Bhd untuk melunaskan jumlah tersebut.

Dalam pemakluman sama, Ho Hup berkata perintah penangguhan itu tidak dijangka memberi kesan material kepada kedudukan kewangannya atau operasi harian, yang akan diteruskan seperti biasa.

Walaupun langkah itu boleh membuka ruang kepada pihak tertentu menyemak semula kontrak sedia ada, syarikat tidak menjangka impak ketara dan akan berunding bagi menguruskan sebarang isu.

Pergolakan tadbir urus dalam syarikat itu turut menjadi perhatian apabila pemegang saham pada awal bulan ini menolak pemilihan semula Datin Chan Bee Leng, wakil terakhir keluarga pengasas di lembaga pengarah, serta menolak bayaran yuran pengarah sebanyak RM500,000 pada mesyuarat agung tahunan.

Chan ialah isteri kepada Datuk Low Tuck Choy, yang keluarganya mengasaskan Ho Hup.

Beliau berhenti sebagai pemegang saham besar pada 22 Oktober, manakala anak mereka, Kheng Lun, disingkirkan daripada lembaga melalui EGM yang dipanggil pemegang saham utama Omesti Holdings Bhd.

Kebimbangan terhadap kelangsungan perniagaan kumpulan itu semakin ketara apabila juruaudit luarnya, UHY Malaysia PLT, pada November lalu memberi amaran terdapat ketidakpastian material terhadap kemampuan syarikat untuk terus beroperasi berikutan kerugian bersih dan defisit modal bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.

Syarikat mencatat kerugian bersih RM506.11 juta, manakala kumpulan merekodkan RM447.37 juta.

Liabiliti semasa melebihi aset semasa sebanyak RM315.2 juta di peringkat syarikat dan RM174.65 juta di peringkat kumpulan.

Sehingga akhir September, Ho Hup hanya mempunyai RM1.5 juta tunai berbanding pinjaman jangka pendek RM130.6 juta, selain kerugian terkumpul mencecah RM338.1 juta. - DagangNews.com






#Ho Hup #penyusunan semula hutang #PN17 #Bursa Malaysia